Sunday 2 September 2012

Ulasan Berkenaan Artikel Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan-Utusan Malaysia (13 Jan 2010)


1.0    PENGENALAN
            Pergerakan masa sememangnya turut membawa perubahan kepada dunia pendidikan. Sememangnya perubahan yang wujud dalam dunia pendidikan ini merupakan satu aspek yang penting agar system pendidikan kita sentiasa sinonim dengan keperluan semasa dan sejajar dengan pergerakan kemajuan dunia.  
            Hakikatnya perubahan tersebut turut mewujudkan pelbagai isu yang perlu ditempuhi dan diharungi oleh warga dunia pendidikan khususnya barisan guru-guru. Salah satu isu perubahan yang ingin diketengahkan adalah berkenaan dengan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan.
Pada tanggal 13 Januari 2010, pihak Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel berkenaan dengan ucapan Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yasin iaitu mengenai penguasaan guru dalam teknologi maklumat dan komunikasi diutamakan.
Perenggan pertama artikel berkenaan mengetengahkan isu penguasaan golongan guru terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Perenggan kedua artikel ini pula berkisar mengenai kursus dan program yang dilaksanakan kepada barisan pentadbiran dan guru-guru sekolah bagi mewujudkan golongan celik komputer.
Isu berkenaan dengan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi yang telah disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan turut diselitkan dalam perenggan keempat dalam artikel tersebut. Selain itu juga, penekanan berkenaan infrastuktur pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah turut terkandung dalam perenggan kelima artikel berkenaan.
Antara isu lain yang terkandung dalam artikel berkenaan adalah cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Isu berkenaan cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan akan dihuraikan melalui punca permasalahan lantas mewujudkan cabaran-cabaran tersebut. Malahan huraian berkenaan cara mengatasi cabaran-cabaran tersebut turut diselitkan dalam tugasan ini.


2.0 ISU-ISU BERKENAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) DALAM PENDIDIKAN MENERUSI ARTIKEL UTUSAN MALAYSIA 13 JANUARI 2010.
Sebelum isu-isu yang terdapat dalam artikel Utusan Malaysia tersebut diulas dengan lebih mendalam, wajarlah konsep teknologi maklumat dan komunikasi dikupas secara ringkas terlebih dahulu.
Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Yusuf Hashim menyatakan bahawa bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk. 
Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) menyatakan bahawa teknologi maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas iaitu berkenaan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat.
Secara tepat dan mudahnya, teknologi maklumat dan komunikasi adalah satu medium untuk berhubung, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu. 
            Berbalik semula kepada artikel Utusan Malaysia yang bertarikh 13 Januari 2010 tersebut, isu berkenaan penekanan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi kepada barisan guru merupakan agenda utama artikel tersebut. Selain daripada itu juga, beberapa isu lain yang berkaitan seperti program teknologi maklumat dan komunikasi yang dilaksanakan kepada guru, inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi yang telah disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan, infrastuktur pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah dan yang terakhir sekali adalah berkenaan dengan cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan.
2.1 Penekanan Penguasaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kepada Guru.
            Tumpuan dan penekaan terhadap penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi kepada guru sememangnya mempunyai tujuan yang penting untuk dicapai. Hal ini adalah guru merupakan penggerak dalam sesuatu sesi proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Ahmad Subki (2012), guru bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran seseorang individu dan guru harus menggunakan kaedah dan teknik pengajaran yang mampu menarik minat murid. Rentetan daripada kepentingan itulah barisan guru perlu diberi penekanan agar dapat menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi agar kepentingannya dapat dicapai.
Tambahan lagi, menurut Yazid (2001), guru adalah merupakan sumber kepada keberkesanan pendidikan. Walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, sekiranya agen yang menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin disampaikan tidak akan tercapai matlamatnya. Jelas di sini menunjukkan bahawa guru merupakan satu medium dalam mencapai keberkesanan pendidikan. Oleh kerana itulah penguasaan guru terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi perlu diberi perhatian.
Kepentingan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi kepada guru juga dapat dilihat daripada kenyataan yang tertulis dalam Dewan Masyarakat (Mei 2012) yang menyatakan bahawa kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan. Guru yang aktif dan bersikap terbuka akan sentiasa melihat teknologi baharu sebagai perkara yang positif dan berusaha mencari alternatif yang terbaik bagi menguasainya. Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran akan menghasilkan generasi berteknologi yang mampu mengharungi era globalisasi, sekali gus merealisasikan impian negara agar menjadi negara maju pada 2020. Atas dasar kepentingan inilah barisan guru-guru di Malaysia perlu memperkukuhkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Hal ini adalah kerana barisan guru adalah titik permulaan dalam memastikan kejayaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain daripada itu juga, penekanan terhadap penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi kepada golongan guru adalah bagi mencapai hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Dr. Ismail Zain (2008) yang dipetik daripada Utusan Malaysia menyatakan bahawa kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauhmanakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara. Jelas menerusi perenggan ini penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi mampu mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain daripada itu, penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi menurut Wan Mustama (2004) dalam Jurnal Pengurusan Dan Pentadbiran Pendidikan adalah usaha bagi meningkatkan kemahiran guru terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Daripada kenyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa kini ilmu pengetahuan bukan sekadar diperoleh daripada bahan-bahan bercetak malahan ianya kian berkembang dalam dunia tekonologi maklumat. Oleh hal demikian, guru yang berupaya menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi dilihat mampu memperkukuhkan lagi ilmu pengetahuan sedia ada. Selain daripada itu juga, guru yang kreatif dan inovatif kesan daripada penguasaan bidang teknologi maklumat dan komunikasi amat penting bagi memperkembangan potensi murid secara bersepadu dan menyeluruh yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Hal ini diperkukuhkan dengan kenyataan  Ab. Rahim Selamat (1992) iaitu melalui pengajaran & pembelajaran kreatif dan inovatif guru, murid dapat memperoleh ilmu pengetahuan, menguasai kemahiran dan mengamalkan sikap dan nilai serta dapat mengembangkan daya kreativiti dan inovasi mereka.
Tambahan lagi, menurut cadangan Lembaga Peperiksaan Negara yang dipetik oleh Naim Hj Ahmad (2000),  guru yang kreatif dan inovatif dalam ICT akan mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi menarik minat murid menggunakan bahan-bahan yang sesuai dari internet untuk tujuan pengayaan, mempelbagaikan teknik penyampaian dalam bilik darjah bagi membolehkan pelajar memahami konsep serta menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan.
Kesimpulannya penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi merupakan satu elemen penting dalam kerjayanya sebagai pendidik dan mempunyai tujuan tersendiri dalam meningkatkan prestasi murid sekaligus bagi memartabatkan bidang pendidikan negara.
2.2  Program Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Yang Dilaksanakan Kepada Guru.
            Menurut artikel yang dipilih bagi tugasan ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa pendedahan bidang teknologi maklumat dan komunikasi kepada guru besar, pengetua dan guru-guru telah dilaksanakan melalui kursus yang berterusan dan implikasinya mewujudkan golongan celik komputer yang ketara.
            Sememangnya kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran golongan pendidik terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Menurut Muhamad Hasan (2000), dalam tempoh RMK-8, Bahagian Pendidikan Guru menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diberi tanggunghawab untuk memberi penekanan khusus terhadap penggunaan ICT dengan mengkaji semula kurikulum latihan guru dan menyediakan kursus jangka pendek dalam latihan guru oleh Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). Jelas di sini menunjukkan kerajaan telah berusaha meningkatkan keupayaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi melalui pelaksanaan khusus bermula daripada golongan guru pelatih sehinggalah kepada guru-guru senior dan hal ini sekaligus mampu meningkatkan penguasaan keseluruhan guru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi tanpa mengira lapisan tempoh perkhidmatan.
            Usaha kerajaan bagi meningkatkan penguasaan golongan pendidik terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi tidak terhenti setakat itu sahaja. Kerajaan telah Kempen Teknologi Maklumat pada 11 Oktober 1997. Kempen ini sebenarnya turut membawa kesan positif kepada golongan pendidik. Hal ini adalah kerana kerajaan menyedari bahawa negara ini perlu mempersiapsediakan golongan belia terutamanya guru pelatih bagi bidang pendidikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi agar dapat menjadi penyambung kepada usaha yang telah dilaksanakan pada hari ini.
Hal ini adalah selaras dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannnya pada perasmian kempen tersebut, iaitu sebuah negara mesti sentiasa berfikir tentang hari esok. Kerana memikirkan hari esoklah kita telah membuat keputusan untuk menggunakan kuasa teknologi maklumat. Kerajaan telah memberi komitmen untuk berperanan aktif dalam mencapai cita-cita ini. Kita bukan sahaja akan menyediakan kepimpinan dari atas ke bawah yang diperlukan untuk memajukan pembangunan teknologi maklumat tetapi kita juga akan membawa masyarakat melonjak bersama.
            Atas kesedaran tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalinkan satu usahasama dengan pihak Intel Education Malaysia bagi melahirkan golongan guru baru yang telah bersiap sedia dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi untuk dilaksanakan semasa di sekolah kelak. Menurut kenyataan yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia (7 Jun 2010), program ini adalah bagi memastikan guru pelatih dapat membiasakan diri bagi mengintegrasikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah sekaligus akan memberi kesan dan impak positif kepada pencapaian serta prestasi akademik murid-murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan.
            Konklusinya kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan golongan-golongan pendidik berupaya menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Usaha-usaha yang dilaksanakan turut melibatkan satu pelan jangka masa panjang bagi tujuan menyediakan bakal tenaga pendidik yang telah sedia diperkukuhkan dengan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
2.3       Inisiatif Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Yang Disediakan Oleh Kerajaan Kepada Bidang Pendidikan.
            Menurut artikel Utusan Malaysia itu juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengulas berkenaan dengan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi yang telah disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan. Menurut beliau, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan pelbagai program bagi menyebarkan sekaligus memperkukuhkan dunia pendidikan di Malaysia bukan hanya bagi memudahkan guru malahan juga mempunyai pelbagai kebaikan kepada murid-murid. Antara inisiatif yang disediakan adalah melalui video pendidikan melalui web iaitu EduWeb TV dan juga School Net.
            Amnya video pendidikan melalui web ataupun dikenali sebagai EduWeb TV memudahkan guru-guru memilih dan seterusnya menjadikan soalan peperiksaaan yang telah disediakan di web tersebut sebagai satu panduan dalam menyediakan set soalan peperiksaan Selain daripada itu juga, guru boleh memilih dan seterusnya menggunakan video yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Para murid juga. boleh melayari video-video pendidikan dengan mudah terus daripada pelayar web. Tambahan lagi, para murid turut boleh mengikuti pelbagai soalan yang disediakan. pelajar lain menggunakan topik yang disediakan oleh anda.
Sememangnya keupayaan guru dalam menaplikasikan EduWeb Tv ini memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang diterangkan di atas. Hal ini turut diperakui oleh Norasiah Abdullah (2009) iaitu penggunaan EduWeb Tv merupakan satu medium bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana berfokuskan kepada isi-isi penting kepada topik yang akan disampaikan serta mengelakkan rasa bosan pelajar seterusnya mengekalkan minat pelajar. Ia juga boleh menghiburkan pelajar.
Selain daripada EduWeb TV, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyentuh berkenaan dengan School Net. Sememangnya program School Net ini merupakan satu insiatif dan menjadi tujuan kerajaan berkehendakkan guru yang berkeupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
SchoolNet merupakan rangkaian persendirian maya yang menyediakan sambungan internet jalur lebar ke sekolah dan ia adalah pendekatan terbaru sistem pendidikan negara bagi menyediakan kemudahan pembelajaran melangkaui bilik darjah. Menurut Nor Fariza Ramlan (2012), SchoolNet menyediakan pelbagai aplikasi kepada penggunanya, termasuk aplikasi komunikasi elektronik seperti e-mel dan kumpulan berita, aplikasi akses jarak jauh, aplikasi pemindahan dokumen, aplikasi pengedaran maklumat dan aplikasi pencarian maklumat. Hal ini menunjukkan bahawa hanya guru yang berkeupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi mampu mendepani perubahan kemajuan ini. Oleh sebab itulah kerajaan begitu optimis bagi menyediakan guru yang berkeupayaan dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
Guru yang berkeupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi dengan kemahiran mengendalikan School Net juga dilihat sebagai satu podium bagi memastikan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai guru pakar tercapai. Menurut Nor Fariza Ramlan (2012), pelaksanaan SchoolNet ini mampu meningkatkan perkongsian ilmu dengan mengoptimumkan tenaga pengajar pakar di negara ini. Melalui teknologi ini, seorang guru pakar mampu mengajar sesuatu mata pelajaran melebihi daripada satu kelas di sekolah yang sama dan sekolah lain.
Selain itu, guru yang berkeupayaan dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi.serta dapat menguasai SchoolNet dengan sebaiknya boleh memanfaatkan infrastruktur berkenaan bagi mengubah bilik darjah mereka menjadi persekitaran menarik justeru dapat menambah minat pelajar terhadap pendidikan.
Dengan teknologi ini juga, seorang guru yang berkeupayaan dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi boleh mengajar sesuatu subjek kepada bilangan bilik darjah lebih banyak di sekolah sama dan sekolah lain. Portal SchoolNet ini membolehkan guru berkongsi modul pembelajaran dan pengajaran interaktif sesama mereka. Jelas di sini menunjukkan guru yang mempunyai berkeupayaan dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi amat penting bagi mengendalikan inisiatif yang telah dilaksanakan bagi kemudahan banyak pihak sekaligus mampu meningkatkan mutu pendidikan negara.
            2.4       Infrastuktur Pembangunan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Di Sekolah.
Artikel yang dipilih bagi menyempurnakan tugasan ini juga bukan sekadar memperkatakan mengenai keupayaan guru dalam dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi, malahan turut menyentuh berkenaan isu infrastuktur pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah yang diwujudkan oleh kerajaan. Selain daripada pembinaan 6633 makmal komputer di sekolah dan 3029 Pusat Akses Internet, terdapat beberapa lagi usaha yang dijalankan oleh kerajaan.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai peralatan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah sepertimana yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel yang dipilih itu. Hal ini diperkukuhkan oleh Robiah Sidin & Nor Sakinah Mohamad (2007) dalam kajiannya yang menyatakan bahawa pihak kerajaan bersetuju untuk membekalkan peralatan ICT ke sekolah yang merangkumi komputer riba, projektor LCD atau tv, troli dan skrin. Sememangnya setiap orang guru yang terlibat dengan pelaksanaan program PPSMI di kelas-kelas yang berkenaan diberikan komputer riba dan dibolehkan membawa balik ke rumah supaya mereka dapat membuat persediaan awal sebelum masuk ke bilik darjah. Kelas-kelas juga disediakan dengan LCD dan troli untuk digunakan guru di bilik darjah. KPM sendiri telah membekalkan kepada setiap sekolah dengan bahan pembelajaran untuk digunakan sebagai bahan bantu pembelajaran dan rujukan guru serta untuk ulangkaji pelajar. Bahan-tersebut terdiri daripada perisian interaktif, rancangan TV pendidikan, buku-buku bacaan tambahan, modul-modul dan alat Bantu mengajar.
Selain daripada menyediakan peralatan ICT, kerajaan juga memandang serius berkenaan masalah kekurangan peruntukan pula. Menurut Robiah Sidin & Nor Sakinah Mohamad (2007) menyatakan bahawa dalam Bajet 2008, kerajaan telah meluluskan peruntukan wang sebanyak RM30 bilion untuk pendidikan tidak termasuk RM15 juta lagi untuk pendidikan ICT di luar bandar. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan bersikap serius dalam merealisasikan hasrat ini dengan melaburkan begitu banyak modal semata-mata untuk membangunkan insan celik komputer yang lebih berdaya saing di era digital ini.
2.5       Cabaran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam Pendidikan.
            Artikel yang memetik ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II berkenaan dengan penguasaan guru dalam teknologi maklumat dan komunikasi turut mengulas serba sedikit berkenaan dengan cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Sememangnya cabaran-cabaran ini serba sedikit mengganggu proses guru dalam menguasai teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh hal demikian saya turut mencadangkan beberapa usul bagi mengatasi setiap cabaran teknologi maklumat dan komunikasi yang wujud.
            Menurut Wan Mustama (2004), cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan terbahagi kepada lima aspek. Apek pertama adalah berkenaan dengan kesukaran menghabiskan sukatan pelajaran. Aspek kedua adalah halangan pihak pentadbiran sekolah. Aspek ketiga adalah berkaitan dengan sikap negative guru. Aspek kedua terakhir adalah maklumat dan laporan tidak tepat serta aspek terakhir adalah berkaitan dengan jurang digital.
Apek pertama adalah berkenaan dengan kesukaran menghabiskan sukatan pelajaran. Sukatan pelajaran merupakan satu garis panduan bagi setiap warga pendidik. Amnya perancangan yang baik amat perlu dititikberatkan dalam menyusun atur waktu proses pengajaran dan pembelajaran agar mencakupi kesuluruhan topik dan aspek yang telah dimuatkan di dalam sukatan pelajaran. Keadaaan ini secara tidak langsung telah menjadi satu cabaran bagi guru-guru dalam menerapkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan.
Menurut Naim Hj. Ahmad (2000), penggunaan internet untuk diakses dan dilayari memerlukan masa yang agak lama untuk diaplikasikan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Beliau juga telah mengutarakan penyediaan alatan teknologi seperti LCD mengambil masa yang lama terutamanya kepada guru-guru lama yang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan teknologi. Hal ini dilihat mampu menjejaskan waktu proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus menganggu perancangan bagi menghabiskan sukatan pelajaran.
Terdapat beberapa cadangan dan langkah yang telah dijalankan bagi mengatasi cabaran yang telah dikeutarakan di atas. Pendekatan pengajaran berkonsepkan teknologi maklumat dan komunikasi perlu dirancang bersesuaian dengan spesifikasi kurikulum. Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) menyatakan bahawa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi perlu diperluaskan mencakupi penggunaan internet seperti mengakses laman web, email, on-line dan perlu diselaraskan dengan program pendidikan dengan teratur bagi memastikan pengurusan masa yang baik dapat dilaksanakan.
Hal ini memperjelaskan bahawa cabaran penggunaan internet memerlukan mengambil masa yang lama dapat diatasi dengan perancangan guru bagi menyenaraikan alamat web yang berkait dengan isi pembelajaran murid terlebih dahulu. Penyediaan alatan seperti LCD yang dianggap mengambil masa yang panjang juga dapat diatasi melalui penyediaan juruteknik di sekolah-sekolah. Pihak kerajaan turut menyediakan kursus teknologi maklumat kepada tenaga pengajar di sekolah yang diadakan melalui kursus-kursus semasa. Selain daripada itu juga, kementerian telah melaksanakan tindakan awal dengan mempersiapkan guru-guru pelatih berkenaan teknologi maklumat dan komunikasi melalui latihan berkenaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran yang telah disenaraikan sebagai satu silibus di Institut Pendidikan Guru.
Seterusnya adalah berkenaan dengan aspek kedua cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan iaitu berkenaan dengan halangan pihak pentadbiran sekolah. Penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid sememangnya diakui dapat dipercepatkan dan dipermudahkan melalui pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi.
Realitinya menurut Muhamad Hasan Adul Rahman (2000) terdapat segelintir pihak pentadbiran sekolah yang meletakkan prosedur yang ketat kepada para guru yang ingin menggunakan alatan-alatan teknologi sebagai bahan bantu mengajar. Hal ini adalah kerana alatan tersebut memerlukan infrastruktur yang berkos tinggi dan penyelenggaraan yang baik. Implikasinya guru-guru lebih selesa menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran biasa berbanding bahan teknologi maklumat.
Terdapat cadangan yang difikirkan mampu mengatasi cabaran penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan berkenaan halangan pihak pentadbiran sekolah tersebut. Penggunaan Model Apple Classroom of Tomorrow (ACOT) yang telah diperkenalkan pada tahun 1995 telah menggariskan lima langkah perubahan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.
Langkah pertama adalah berkenaan Kemasukan (Entry) yang mengetengahkan penerimaan positif kesemua pihak terutamanya pihak pentadbir dan dan guru berkenaan kemasukan teknologi dalam bidang pendidikan. Langkah kedua pula adalah melalui Pemilihan (adoption) iaitu pemilihan bahan yang sesuai sahaja bagi sesuatu kelas sekaligus mengelakkan penggunaan alatan lain yang tidak berkaitan dan hanya menggalakkan penggunaan lebihan alatan.
Langkah ketiga pula adalah berkenaan Kesesuaian (adaptation) iaitu pengaplikasian alatan yang bersesuaian dengan tahap murid. Hal ini adalah bagi memastikan keberkesanan kaedah penggunaan alatan tersebut yang disesuaikan dengan alatan yang digunakan.
Model ini turut menggariskan Penggunaan (appropriation) alatan dengan kaedah dan teknik yang betul agar alatan tersebut dapat digunakan secara berterusan. Langkah ini bertujuan memastikan alatan teknologi dapat digunakan dalam tempoh masa yang lama sekaligus mengurangkan kos penyelenggaraannya. Langkah terakhir pula adalah merekacipta (invention) iaitu pihak pentadbir dan guru mampu merekacipta bahan-bahan tambahan bagi meneguhkan pemudahcara dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid.
Penggunaan model ini mengetengahkan peranan setiap pihak dalam menjaga alatan serta perubahan sikap dan mentaliti berkenaan alatan komunikasi. Langkah-langkah ini dilihat mampu mengubah prosedur ketat yang dikenakan oleh pihak pentadbiran ke arah yang lebih mesra pengguna. Tambahan lagi, sikap dan pandangan guru juga akan turut berubah dalam mengubahsuai proses pengajaran dan pembelajaran mereka seiring dengan arus pemodenan yang berlaku.
Aspek ketiga bagi cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah berkaitan dengan sikap negatif guru. Kebanyakan guru telah sebati dengan kaedah pengajaran tradisional dan sukar menyesuaikan diri dengan teknologi intruksional. Yusup Hasyim (1998) mempersetujui kenyataan yang telah dikeutarakan oleh Becker & Watt (1966) iaitu ledakan teknologi maklumat dan komunikasi memberi cabaran baharu kepada profesion guru dan sistem pendidikan.
Menurut Becker & Watt (1966) juga, ada kalangan guru yang ‘buta teknologi maklumat dan komunikasi’, menyebabkan timbul sikap negatif dan tidak berminat mengajar menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi selain sikap malas menyediakan bahan atau peralatan teknologi maklumat dan komunikasi untuk pengajaran.
Cabaran berkenaan sikap negatif guru dapat diselesaikan apabila pemikiran guru lebih bersifat keterbukaan dalam menerima perubahan-perubahan baru dalam dunia pendidikan.  Maizun Binti Jamil (2009) menyokong pendapat Steers & Black (1994) iaitu persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi. Latihan yang cukup akan membantu guru menambahkan pengetahuan dan kecekapan terhadap alatan teknologi maklumat dan komunikasi sekaligus menimbulkan minat dikalangan guru-guru tersebut.
Aspek keempat cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah maklumat dan laporan tidak tepat. Amnya tugas guru tidak hanya meliputi proses pengajaran dan penyampaian ilmu pengetahuan malahan juga melibatkan kerja-kerja pengkeranian yang memerlukan guru-guru merekodkan dan memasukkan data-data berkenaan prestasi murid dalam sistem. Namun proses memasukkan data yang dikendalikan melalui sesuatu perisian terdedah kepada pemprosesan dan penganalisisan laporan serta maklumat yang tidak tepat. Hal ini mungkin disebabkan oleh proses kemasukan data yang terlalu banyak dan berterusan. Menurut Zoraini Wati Abas (1993), kesilapan juga boleh berlaku terhadap data prestasi murid sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam pembangunan sistem data itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem data tersebut.
            Cadangan yang ingin dikeutarakan bagi mengawal cabaran ini adalah melalui ppihak pentadbir sekolah. Hubungan yang baik dan tolak ansur amat penting dalam sesebuah organisasi. Hal ini merujuk kepada sikap dan layanan pihak pentadbir kepada staff berkenaan kebajikan pekerja bagi mengelakkan berlakunya tekanan kerja dan perpindahan pekerja ke organisasi lain. Perpindahan ini akan menyumbang kepada masalah hilangnya pekerja yang memiliki sesuatu kemahiran. Lebih teruk lagi, pekerja baru yang menggantikan tempat pekerja lama tidak memahami konsep dan cara kerja pekerja lama tersebut dan seterusnya menjuruskan ke arah berlakunya kesilapan kerja terutamanya dalam skop memasukkan data.
            Malah masalah seperti kemasukan data yang salah (Garbage In Garbage Out - GIGO) dapat dihapuskan sekiranya pentadbir memberi peluang dan masa yang secukupnya untuk kakitangan mereka menjalankan tugas. Selalunya kesilapan berlaku kerana kecuaian pekerja yang melakukan kerja secara tergopoh-gapah. Mungkin kerana mahu cepat siap, faktor kuantiti sahaja yang diambil kira, dan ini menyebabkan mereka mengabaikan faktor kualiti. Kebajikan pekerja perlu diambil berat. Adalah dicadangkan juga setiap data atau maklumat yang dimasukkan disemak oleh "Quality Control". Hal ini dapat menghasilkan data yang lebih tepat dan jitu.
Aspek terakhir bagi cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah jurang digital. Jurang digital terbentuk apabila berlakunya ketidakseimbangan yang wujud di kalangan masyarakat. Ketidakseimbngan ini amnya merangkumi aspek ekonomi, kemudahan infrastruktur, pendapatan, pemodenan, pendidikan dan sebagainya dan hal ini secara tidak langsung turut memberikan impak terhadap kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dan digital di sekolah.
Ab. Rahim Selamat (1992) menyatakan bahawa situasi jurang digital menyebabkan pengajaran guru kurang berkesan dan tidak dapat diaplikasi di luar bilik darjah memandangkan  sosioekonomi  murid – murid di luar bandar yang rendah. Penggunaan komputer yang terhad dan tidak berterusan boleh membantutkan penerimaan ilmu pengetahuan yang hendak disampaikan.
            Selain daripada itu juga, Ab. Rahim Selamat (1992) mengakui wujudnya jurang perbezaan dari segi taburan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di antara kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan Lembah Kelang dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia.
            Hakikatnya cabaran ini bukannya sesuatu yang boleh dipandang serius kerana kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi cabaran yang telah digariskan ini. Kerajaan telah mewujudkan kesedaran berkenaan penggunaan komputer untuk mempercepatkan penerimaan dan penggunaan teknologi maklumat. Kempen Kesedaran Teknologi Maklumat pada 11 Oktober 1977 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mahathir Mohamad. Kerajaan juga memperlonggarkan syarat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi individu yang ingin memiliki komputer persendirian. Kerajaan turut melancarkan program Satu Rumah Satu Komputer dengan membekalkan komputer kepada murid-murid. Kerajaan juga memastikan setiap sekolah, mendapat skim peruntukan kelengkapan makmal komputer yang cukup kepada semua sekolah terutamanya sekolah-sekolah di kawasan luar bandar. Cabaran ini cuma berlaku di sekolah-sekolah pendalaman yang baru dibuka dan mengalami masalah tempoh penerimaan alatan teknologi yang agak lambat namun proses penerimaan tersebut tetap berlaku.

Penutup
Sememangnya diakui bahawa sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan murid-murid yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Peranan teknologi maklumat sangat penting dalam sistem pendidikan yang semakin mencabar dan menghadapi persaingan global ini. Dunia yang dianggap sudah tidak bersempadan daripada sudut pergerakan maklumat telah memberikan inspirasi supaya setiap sekolah menerima tanpa soal jawab aplikasi dan implimentasi ICT dalam organisasi berkenaan.
Hal ini telah disedari oleh kerajaan dan kerajaan mula mengatur langkah bagi menghadapi situasi tersebut. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Kerajaan mula mengorak langkah dengan menyediakan barisan guru yang mantap dan berpengetahuan luas terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi memerlukan anjakan peranan  pendidikan dan profesion keguruan. Untuk mencapai matlamt menjadikan negara sebagai negara yang maju, kita memerlukan lebih ramai guru yang mempunyai pengkhususan bidang pengetahuan komunikasi maklumat (TMK)
Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu mempermudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak- kanak. 

Rujukan
Ab. Rahim Selamat. (1992). Teknologi Sistem Pengajaran. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Ahmad Subki & Syed Ismail (2012). Asas Kepimpinan Dan Perkembangan Profesionalisme.Selangor: Penerbitan Multimedia SDN. BHD.
Dr. Ismail Zain. (2008) Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran. Utusan Malaysia. 27 Oktober.
Isyak Din, Azmi Zakaria, Wan Mustama, Rafee Che Kasim & Mazlan Shamsuddin (2004). Jurnal Pengurusan Dan Pentadbiran Pendidikan 14 (02).
Maizun binti Jamil. (2009). Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Dalam Pendidikan Telah Memberi Kesan Positif Dalam Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran Di Institusi Pengajian Tinggi. Penilaian Tahap Kecekapan. Universiti Putra Malaysia.
Mohd. Termizi Che Anuar. (2010) Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan. Utusan Malaysia, 13 Januari:1,
Muhamad Hasan Adul Rahman. (2000). Media Pengajaran Penghasilan Bahan Pengajaran Berkesan. Terbitan UPM.
Muhamad Rafiq Abdul Rahman. (2012) Pendidikan Menerusi Teknologi Maklumat Dan Komunikasi.  Dewan Masyarakat. Mei 2012.
Naim Hj Ahmad. (2000). Teknologi Pendidikan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Nor Fariza Ramlan. (2012) School Net diperluas ke Johor. Berita Harian, 2 September.
Norasiah Abdullah, Nor Risah Mat Lazim & Rosnah Zain. (2009). Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Robiah Ridin & Nor Sakinah Mohamad. (2007) ICT  dalam  Pendidikan:  Prospek  dan  Cabaran  dalam Pembaharuan  Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32 (2007).
Sharifah Alwiah Alsagoff. (1987). Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Yazid Abdul Manap (2001). Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama. Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor.
Yusup Hasyim. (1998). Teknologi Pengajaran. Shah Alam: Fajar Bakti.
Zoraini Wati Abas (1993). Komputer dan Pendidikan, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti



















1 comment: