Sunday, 2 September 2012

Ulasan Berkenaan Artikel Gangguan Seksual Guru Terhadap Murid



1.0 PENGENALAN

Sebagai seorang guru yang merupakan satu profesion, kita sering lupa dengan kod dan etika sebagai seorang guru. Etika dan kod etika ini merupakan peraturan dan landasan yang perlu dituruti oleh seseorang yang bergelar profesional. Malangnya, kebanyakan guru hanya melihat profesion keguruan ini hanya kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sahaja dan tidak melihat pada aspek lain menyebabkan ketirisan dalam dunia pendidikan dewasa ini. Sebagai warga pendidik, kita haruslah sedar bahawa masalah yang kita hadapi sekarang dan membawa profesion ini kembali ke landasan yang sebenar supaya tidak lari dari garis sempadan yang ditetapkan.

Etika merupakan satu sistem dasar akhlak, adat dan tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka) yang merupakan prinsip moral atau set prinsip moral. Etika juga boleh dikatakan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang terhadap masyarakat. Menurut dari perspektif Islam, merujuk kepada tingkah laku yang betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.


Manakala, kod etika profesional pula membawa maksud semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan, dan peradaban termasuk peranan nilai, setiap tingkah laku profesional dalam masyarakat.  Etika profesional ini mencakupi sebahagian besar kehidupan mereka yang mengamalkan sesuatu profesion kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi. Dalam Islam pula, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.



Mengambil kira huraian di atas, dapatlah kita membuat konklusi bahawa etika merupakan satu sistem dasar tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Manakala kod etika pula menjelaskan tindakan-tindakan yang betul yang perlu dituruti dan tindakan-tindakan salah yang perlu dihindari. Badan profesional tertentu  mempunyai kod etika tertentu, termasuklah profesion perguruan ini. Setiap profesion akan menetapkan nilai-nilai asas yang perlu ditaati oleh semua insan yang menjalankan pekerjaan tersebut yang dinyatakan sebagai Kod Etika. Oleh itu, etika profesional ialah nilai-nilai atau tingkah laku murni yang harus dihayati oleh individu-individu mengikut profesional masing-masing. Terdapat 4 Kod Etika Perguruan yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Tatasusila Profesion Keguruan iaitu:




Rajah 1: Empat Kod Etika Perguruan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.



2.0 ISU YANG DIBANGKITKAN

Paparan isu dan masalah tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru  sering kali dilaporkan tidak kira melalui media cetak atau media elektronik. Paparan isu ini sering kali dijadikan isu yang hangat, sensasi dan menjadi topik perbincangan oleh masyarakat di seluruh Malaysia secara amnya dan di seluruh dunia secara khususnya. Pelbagai masalah yang melibatkan etika perguruan sering dilaporkan melibatkan beberapa kes tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru seperti kes rasuah, gangguan seksual, dera dan sebagainya. Sebagai contoh, isu guru yang didapati bersalah melakukan gangguan seksual dengan melakukan seks oral ke atas dua orang murid lelakinya yang berusia 11 tahun dilaporkan oleh akhbar Berita Harian yang bertarikh 20 Julai 2011 telah menjadikan isu ini semakin hangat diperkatakan di segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru yang berumur 30 tahun yang tergamak melakukan perbuatan tersebut menunjukkan bahawa guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan. Isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru ini semakin berleluasa hari demi ke hari. Persoalannya, mengapakah isu gangguan seksual ini berlaku?

Sebenarnya, gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja seperti di rumah, kawasan awam atau tempat kerja. Risiko tersebut juga boleh berlaku di sekolah. Mangsanya boleh jadi dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah atau remaja sekolah menengah. Mereka ini pastinya belum cukup dewasa untuk membuat pertimbangan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini. Mereka ini pastinya belum cukup dewasa untuk membuat pertimbangan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini.


 Seharusnya, sekolah perlu menyediakan tempat yang selamat untuk belajar. Malangnya terdapat segelintir pelajar, guru, kakitangan dan ibu bapa yang masih tidak tahu bagaimana gangguan seksual ini boleh berlaku di sekolah dan apa yang perlu dlaksanakan untuk menanganinya. Rajah di bawah menunjukkan contoh jenis-jenis gangguan seksual pelajar di sekolah:

Rajah 2 : Contoh jenis-jenis gangguan seksual pelajar di sekolah.

Kejadian gangguan seksual kian berleluasa dewasa ini. Malah, kejadian tersebut begitu popular di sekolah sehingga menjadi sebutan dalam masyarakat. Malang sekali kerana yang menjadi mangsanya ialah murid-murid dan pemangsanya pula ialah guru sendiri.

Gangguan seksual yang dilakukan oleh para pendidik ini menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak murid di bawah jagaan mereka. Situasi ini boleh diibaratkan sebagai ‘harapkan pagar, pagar yang makan padi’. Sering kali kita mendengar terdapat tingkah laku yang negatif yang dilakukan oleh guru tidak kira guru itu muda atau tua. Ini memberikan gambaran dan persepsi jelas bahawa sekolah bukan lagi institusi yang selamat dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru.

Kod Amalan (1999) mentakrifkan gangguan seksual contohnya melakukan seks oral ialah merujuk kepada tingkah laku berunsur seksual yang tidak dingini dan memberi kesan sama ada secara lisan, isyarat, visual, psikologi atau fizikal. Gangguan seksual boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu gangguan seksual berbentuk ugutan (sexual coercion) dan gangguan seksual berbentuk ancaman terhadap ketenteraman peribadi (sexual annoyance).

Gangguan seksual berbentuk ugutan ialah gangguan yang memberikan kesan secara langsung kepada mangsanya. Contohnya, seseorang pelaku mempunyai kuasa untuk cuba mengugut mangsanya untuk mendapatkan kepuasan mereka. Manakala gangguan seksual secara peribadi ialah tingkah laku seksual yang dianggap oleh mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan. Kementerian Sumber Manusia (1999) mengkategorikan bentuk-bentuk gangguan seksual kepada lima jenis iaitu gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat, gangguan secara visual, gangguan secara fizikal dan gangguan secara psikologikal. Gangguan secara lisan ialah bentuk gangguan yang dapat dilihat dalam penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual sehingga seseorang berasa tersinggung, terhina atau terugut.

 Selain itu, gangguan secara isyarat (bukan lisan) ialah gangguan yang dipamerkan melalui sikap atau perlakuan seseorang yang memberi maksud atau gambaran keinginan yang berunsurkan seksual antara lain, seperti menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir atau mengguna bahasa isyarat yang lain. Manakala gangguan secara visual ialah perlakuan menghantar nota, surat, e-mail, pesanan ringkas (sms), gambar, poster, objek atau bahan bacaan yang berunsur seksual melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik atau peralatan komunikasi kepada mangsa yang menyebabkan mangsa berasa tersinggung, terhina atau terugut juga merujuk kepada gangguan seksual.

Di samping itu, gangguan secara fizikal ialah gangguan yang berbentuk sentuhan fizikal yang berunsur seksual seperti mendekati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga orang tersebut berasa kurang selesa, memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium atau meraba sehingga mangsa berasa tersinggung, terhina atau terugut. Manakala gangguan secara psikologi ialah mangsa cuba merapati secara seksual, mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual seseorang sama ada melalui surat, telefon, e-mel atau sebarang bentuk peralatan komunikasi kepada mangsa yang menimbulkan tekanan emosi dan mental ke atas mangsa.

3.0 PUNCA TINGKAH LAKU GURU BERKAITAN ISU TERSEBUT

Gangguan seksual seperti melakukan seks oral terhadap murid adalah satu isu tingkah laku yang negatif yang dilakukan oleh guru sehingga murid tersebut takut untuk ke sekolah. Keselamatan murid tersebut telah terancam kerana perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut kerana sangat keterlaluan. Menurut Koss (1990), murid yang mengalami gangguan seksual iaitu dipaksa melakukan seks oral merasa diri mereka sebagai mangsa dan menukar corak hidup mereka menjadi pendiam, murung, kurang bergaul dan sebagainya. Murid yang menjadi mangsa ini melarikan diri dari keadaan tersebut menyebabkan peluang untuk belajar terkandas sekaligus menjejaskan masa depan mereka.

Murid yang mengalami gangguan seksual akan menanggung tekanan yang tinggi termasuk perasaan takut, marah, murung, malu, mudah tersinggung dan kurang motivasi untuk belajar (Koss, 1990). Keadaan yang dialami oleh murid ini berpunca daripada sikap guru yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan murid tersebut. Terdapat pelbagai teori yang boleh dikaitkan denga punca tingkah laku yang dilakukan oleh guru tersebut terhadap muridnya. Persoalannya, apakah punca menyebabkan guru tersebut tergamak berkelakuan sebegitu rupa?

Antara punca tingkah laku negatif yang dilakukan guru bagi kes gangguan seksual ialah kurang memahami etika keguruan. Guru yang memahami etika keguruan tidak akan tergamak melakukan perkara sedemikian terhadap anak muridnya sendiri. Sebaliknya, guru tersebut telah melanggar kod etika guru yang telah digariskan. Ini membuktikan bahawa guru tersebut tidak mengerti, menghayati dan memahami apa yang terkandung dalam kod etika guru. Berdasarkan kod etika perguruan, sewajarnya setiap ahli profesion iaitu guru sudah sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan. Tetapi dalam kes ini, yang terjadi adalah sebaliknya.

Selain itu, punca berlakunya tingkah laku negatif dalam kalangan guru ialah mereka mempunyai masalah keluarga. Guru yang mengalami masalah keluarga terutamanya yang kritikal seperti penceraian dan kematian mengalami tekanan dan emosi yang tidak stabil. Bagi guru yang mengalami krisis rumah tangga , mereka tiada tempat untuk mengadu dan meluahkan perasaan kasih sayang. Hal ini menyebabkan guru tersebut mengambil jalan mudah dengan melakukan gangguan seksual kepada anak muridnya sendiri bagi melepaskan tekanan yang dihadapi oleh mereka.

Menurut teori seksualiti, perkembangan hidup dan tingkah laku manusia adalah didorong oleh kemahuan, kehendak dan kuasa seksualiti (Abd Rahim, 2003). Di sini jelaslah menunjukkan bahawa seks adalah satu keperluan asas kepada orang dewasa dan cara manusia mencapai kehendak dan keperluan seksual pada umurnya untuk mencorakkan perkembangan tingkah laku, sahsiah, emosi dan moral. Ini menunjukkan bahawa masalah rumah tangga seperti penceraian menyebabkan keperluan seksual tidak dapat dipenuhi. Akibatnya, guru terbabit menjadikan murid sebagai tempat untuk melepaskan  tuntutan dan nafsu seksual mereka.

Di samping itu juga, antara punca penyumbang kepada tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru tersebut ialah pengaruh media massa seperti media cetak dan media elektronik. Mengikut kajian yang dilakukan, pengaruh media elektronik lebih banyak kesannya berbanding media massa kerana media elektronik mudah didapati dengan meluas tanpa sekatan. Pengaruh ini akhirnya mendorong guru tersebut melakukan perkara seumpama itu terhadap anak muridnya. Pengaruh media massa contohnya seperti media cetak membolehkan guru tersebut mendapatkan bahan lucah melalui buku, majalah dan sebagainya dengan mudah seterusnya membuat gangguan seksual kepada anak muridnya.

Manakala melalui media elektronik seperti penggunaan internet, telefon bimbit dan sebagainya membolehkan bahan-bahan lucah mudah didapati dan mudah dilayari berbanding medium yang lain. Hal demikian menyebabkan guru tersebut mudah mendapatkan bahan bagi tujuan yang dikehendaki. Oleh itu, apa yang dilihat, ditonton dan dipelajari telah diaplikasikan ke atas murid. Kita sudah sedia maklum bahawa kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak di luar negara semakin berleluasa. Mereka turut dijadikan hamba seks. Dengan kata lain, guru tersebut telah meniru dan menciplak budaya tersebut yang diperolehi melalui media elektronik yang begitu banyak dewasa kini sehingga melakukan gangguan ini terhadap anak muridnya sendiri.

Tiada kesedaran dan tuntutan agama juga adalah implikasi negatif kepada tingkah laku guru tersebut. Kesedaran agama yang kurang terutamanya tentang hukum halal dan haram menyebabkan seseorang guru tersebut sanggup melakukan perkara terkutuk itu demi kepuasan mereka sendiri. Sehubungan dengan itu juga, kesedaran agama yang kurang dengan tidak menggunakan ilmu yang dipelajari dengan sebaik mungkin menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Guru tersebut juga tidak menjaga pergaulan beliau dengan anak muridnya sehingga dia sanggup membuat gangguan seksual ke atas anak muridnya sendiri dan dipaksa menonton video lucah. Maka, jelaslah bahawa perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut bukan mencerminkan beliau sebagai seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Jika difikir kembali, tidak mungkin akan berlaku kes seumpama ini jika guru tersebut mempunyai kesedaran agama yang tinggi serta takut akan  balasan dari Allah SWT.

Selain itu, punca tingkah laku negatif tersebut ialah pengaruh pil perangsang. Kebanyakkan kes yang melibatkan gangguan seksual ini sering kali dipengaruhi oleh pengambilan pil perangsang seperti Viagra yang tidak terkawal dan dijual di pasaran secara terbuka. Apabila pengambilan pil peransang secara tidak terkawal, keinginan seksual semakin meningkat menyebabkan berlakulah gangguan seksual ke atas murid. Kebanyakan guru lelaki yang tidak berkahwin atau telah bercerai yang menggunakan pil perangsang ini akan cuba membuat gangguan seksual terhadap anak muridnya apabila terangsang. Dalam situasi ini, guru tersebut hanya ingin memuaskan diri mereka tanpa mengira nasib yang akan menimpa anak murid apabila berkelakuan negatif seperti ini.

Tambahan lagi, punca yang menyebabkan tingkah laku negatif itu ialah tekanan kerja yang dihadapi menyebabkan guru tersebut mengalami stress yang tinggi. Mengikut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbingan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai guru. Bebanan kerja yang terlalu banyak, dimarahi oleh pihak pentadbir, disisihkan dan sebagainya adalah contoh tekanan kerja yang dihadapi oleh guru setiap hari menyebabkan guru itu tidak dapat berfikir panjang, secara tidak langsung mencari jalan lain untuk melepaskan tekanan yang dihadapi. Guru terbabit membuat tanggapan bahawa gangguan seksual yang dilakukan itu boleh mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi. Namun, impak daripada perkara itu lebih teruk daripada apa yang dijangkakan. Selain itu, pengurusan tekanan yang tidak betul menyebabkan guru tersebut menggunakan murid sebagai alat untuk gangguan seksual bagi melepaskan tekanan yang dihadapinya.

4.0 IMPLIKASI JANGKA PENDEK DAN JANGKA PANJANG TERHADAP GURU, PROFESION PERGURUAN SERTA PIHAK-PIHAK LAIN

Sekiranya masalah ini tidak dibendung dengan baik, berkemungkinan besar masalah ini akan menular dengan lebih teruk lagi. Kesan dan akibat dari perbuatan tingkah laku guru yang negatif ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada diri guru tersebut sahaja, namun kesannya akan turut dirasai oleh mangsa gangguan seksual, guru-guru lain, sekolah, masyarakat dan imej negara Malaysia.

4.1 Guru
Antara kesan jangka pendek yang akan menimpa guru yang melakukan perbuatan terlampau tersebut ialah dari segi hubungan dengan murid. Hubungan guru dan murid menjadi semakin renggang. Tambahan itu juga, semua murid membenci dan takut untuk menuntut ilmu dengan beliau. Dalam situasi berkenaan, murid berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain itu, hubungan guru dan rakan sejawatnya juga akan musnah kerana mereka hilang kepercayaan terhadap guru tersebut. Secara tidak langsung, beliau akan mengalami tekanan emosi dan mengalami konflik jiwa yang serius akibat daripada perbuatan keji itu.

            Mengikut Terri Mauro (2004), terdapat banyak faktor yang berkait dengan gangguan emosi contohnya masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan masalah keluarga. Di samping itu juga, keluarga guru yang terbabit dalam tingkah laku negatif ini mungkin akan mendapat kesan yang buruk. Contohnya, keluarga beliau akan dibenci dan dicemuh oleh masyarakat. Perkara tersebut menyebabkan keluarga beliau akan hidup dalam suasana yang tidak tenteram. Tambahan lagi, kesan jangka pendek yang akan menimpa guru tersebut ialah kehilangan pekerjaan dan mata pencarian akibat daripada perbuatannya yang tidak senonoh itu.

Kesan jangka panjang yang terpaksa ditempuhi oleh guru tersebut pula ialah wujudnya persepsi yang buruk daripada masyarakat terhadap beliau. Guru tersebut tidak lagi diterima oleh masyarakat kerana masyarakat akan memandang serong akibat daripada perbuatan tersebut. Selain itu,  guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah yang lain bagi menjaga nama baik sekolah tersebut. Di samping itu juga, guru tersebut tiada tempat dalam masyarakat dan beliau bukan lagi menjadi guru yang boleh dipercayai oleh masyarakat.

Kesan jangka pendek kepada guru lain ialah masyarakat tidak akan mempercayai bahawa guru dapat mendidik dan mengajar anak mereka dengan baik sehingga menyebabkan peranan guru tidak lagi dipandang sebagai satu tugas yang mulia oleh masyarakat. Kesan daripada itu, guru-guru lain yang tidak bersalah akan diselubungi dengan perasaan malu terhadap masyarakat dengan tindakan yang dilakukan oleh rakan guru lain yang berkelakuan negatif.
Manakala, kesan jangka panjang kepada guru yang lain ialah menyebabkan mereka sendiri tidak lagi berminat untuk meneruskan profesion perguruan. Bidang perguruan akan mengalami kemerosotan, sekaligus pendidikan dan ilmu pengetahuan tidak lagi menjadi keutamaan. Selain itu, guru-guru yang lain pastinya tidak lagi mempunyai perasaan selaku seorang pendidik jika masalah ini terus berleluasa.


4.2 Profesion Perguruan
Kesan jangka pendek dari tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru terbabit menyebabkan profesion perguruan dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat tidak lagi mempercayai kepada profesion perguruan sehingga profesion ini tidak lagi diperlukan oleh masyarakat. Selain itu, profesion perguruan tidak lagi dianggap mulia oleh masyarakat kerana mereka tidak lagi mempercayai bahawa profesion ini dapat membantu anak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang selamat dan berkesan. Tambahan pula, profesion ini tidak lagi dihormati oleh masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid itu sendiri.

Manakala kesan jangka panjang kepada profesion perguruan akibat daripada perbuatan negatif tersebut ialah kepada generasi muda. Mereka pasti tidak lagi berminat untuk menjadi guru. Kesannya, profesion perguruan mengalami kekurangan generasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Di samping itu juga, kerajaan tidak lagi dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang perguruan. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara profesional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.


4.3 Sekolah
Kesan jangka pendek yang menimpa sekolah ialah reputasi sekolah atau nama baik sekolah akan menurun menyebabkan masyarakat terutamanya ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Selain itu, sekolah tidak lagi dianggap sebagai sebuah institusi pendidikan yang memberi pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid. Manakala, kesan jangka panjang yang menimpa sekolah pula ialah dilabel sebagai tempat yang tidak bermoral kerana membiarkan masalah gangguan seksual berleluasa secara tidak terkawal.

4.4 Ibu bapa dan Masyarakat
Kesan pendek dari kes seks oral yang berlaku menyebabkan hubungan ibu bapa dan guru menjadi renggang kerana sudah tidak wujud  kepercayaan dan kredibiliti guru sebagai pendidik kepada anak mereka dpertikaikan. Di samping itu juga, masyarakat akan memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah. Manakala kesan jangka panjang yang menimpa ibu bapa dan masyarakat pula ialah guru dipersalahkan secara total sehinggakan beliau dibenci dan dicaci oleh masyarakat yang lain. Selain itu, isu gangguan seksual ini dibawa terus kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi mendapat keadilan bagi pihak anak mereka. Sekaligus, berita-berita yang memalukan tentang salah laku guru seperti kes oral seks terhadap pelajar terpampang di muka hadapan surat-surat khabar sehingga menjadi berita sensasi yang menjatuhkan maruah diri sendiri, ibu bapa dan masyarakat.

4.5 Mangsa Gangguan Seksual
Kesan jangka pendek yang dialami oleh mangsa gangguan seksual ialah kecenderungan berdiam diri, bersendirian, murung dan sebagainya. Perkara tersebut menyebabkan mangsa tidak lagi berminat untuk belajar sehingga prestasi mangsa menurun. Tambahan pula, kesan jangka panjang ialah mangsa gangguan seksual akan menjadi trauma dengan guru terutama guru lelaki. Kesan jangka panjang kepada mangsa ialah mangsa mengalami tekanan emosi dan jiwa yang tinggi sehingga mangsa cuba membuat perkara yang tidak diingini contohnya membunuh diri dan sebagainya.

5.0 KOD ETIKA GURU YANG BERKAITAN

Kod etika ialah peraturan, adab kebiasan manusia dalam pergaulan antara satu sama lain dan aturan ini menegaskan apa yang benar dan apa yang salah. Kod etika guru adalah peraturan untuk membantu guru yang profesional agar mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub demi menjaga imej profesion. Di samping itu juga, etika dianggap sebagai pedoman perilaku yang dikenal pasti berkaitan dengan tindakan manusia dalam bahagian tertentu manakala Bascom (2007) menganggap etika sebagai ilmu mengenai suatu kewajiban.

Antara fungsi kod etika ialah memberikan pedoman bagi setiap ahli dalam profesion mengenai prinsip profesionalisme yang dirangka. Ini bermakna setiap ahli yang juga guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan. Fungsi kod etika juga ialah merupakan kawalan sosial untuk masyarakat atas profesion yang berkaitan. Ini bemakna bahawa etika profesion dapat menyediakan pengetahuan kepada masyarakat supaya lebih memahami kepentingan suatu profesion. Akhir sekali fungsi kod etika ialah membantu para profesional mencegah campur tangan pihak di luar organisasi profesion tentang hubungan etika dalam keanggotaan profesion.

Kod etika perguruan adalah pedoman dan panduan kepada guru dalam menjalankan tugas mereka dengan bertanggungjawab membimbing murid-murid untuk mencapai kemajuan sepenuhnya. Di dalam kod etika perguruan terdapat empat tangggungjawab yang perlu dipatuhi dalam profesion ini seperti yang telah dinyatakan iaitu melibatkan tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibu bapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara serta tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan.

Berdasarkan isu tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru dalam kes gangguan seksual, kita dapati guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan dan  beliau tidak menunjukkan sikap  bertanggungjawab terhadap pelajar.  Dalam kes ini, sepatutnya guru tersebut mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar. Namun guru tersebut telah melakukan perkara yang sebaliknya terhadap pelajarnya. Kes seperti ini tidak seharusnya dilakukan kerana telah mencemarkan nama baik profesion perguruan. Kesannya, murid tersebut tidak lagi berasa selamat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.

Selain itu, berdasarkan kod etika perguruan, guru sepatutnya bertanggungjawab dalam menunjukkan cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberi contoh. Dalam isu gangguan seksual ini, guru tersebut tidak bertanggungjawab dalam memberi contoh yang baik kepada murid kerana telah menunjukkan tingkah laku yang negatif dengan membuat gangguan seksual secara terang-terangan ke atas murid tersebut.

Di samping itu kod etika yang terlibat dalam kes ini ialah guru tidak harus bertingkah laku sebegitu rupa sehingga boleh mencemarkan imej dan sifat profesionalnya, sekaligus akan menyebabkan hilangnya kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Tambahan lagi, guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warganegara yang taat setia dan berguna. Perkara tersebut berbeza dengan guru yang dengan melakukan sikap yang tidak baik terhadap muridnya.

Demikian juga dengan kod etika bahawa guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibu bapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat. Maka, guru tidak seharusnya menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibu bapa terhadapnya serta guru tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara. Kod etika ini jelas menunjukkan bahawa guru yang melakukan gangguan seksual tidak mengikut kod etika yang digariskan sebagai seorang pendidik. Kesimpulannya, kod etika yang menjadi panduan kepada semua guru nyata sekali tidak digunakan dan diamalkan oleh guru yang melakukan tingkah laku yang negatif tersebut.

6.0 CADANGAN MENGATASI TINGKAH LAKU GURU YANG NEGATIF

Gangguan seksual yang berlaku ke atas murid bukannya penghujung kepada kes yang melanda masyarakat kita pada hari ini. Mungkin suatu hari nanti, kes ini menjadi semakin serius jika tidak ditangani dengan segera. Tingkah laku yang negatif itu boleh dibendung jika masyarakat berkerjasama dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Pendidikan merupakan satu kaedah yang terbaik untuk mengatasi tingkah laku guru yang negatif. Melalui kaedah tersebut, kita boleh membangunkan kesedaran guru tentang bahaya gangguan seksual yang dilakukan oleh mereka terhadap murid-murid. Kebanyakan negara maju telah memperkenalkan pendidikan seks kepada semua masyarakat bagi mendedahkan pelbagai isu dalam menimbulkan kesedaran mengenai gangguan seksual seperti diskriminasi seksual, hak asasi wanita, nilai-nilai baik dalam hubungan antara lelaki dan wanita, pencabulan, penderaan seksual dan sebagainya.

Justeru, kerajaan atau badan bukan kerajaan perlu memainkan peranan yang penting dalam menyediakan pendidikan seks ini supaya dapat menyedarkan masyarakat khususnya guru-guru dalam mengatasi masalah tingkah laku yang negatif. Pendidikan seks bukan sahaja sesuai kepada murid, guru-guru dan masyarakat namun kepada pesalah gangguan seksual itu sendiri. Pendidikan seks bertujuan untuk memberi maklumat yang sebenar tentang kesalahan seksual yang dilakukan lebih-lebih lagi dilakukan kepada murid-murid. Di samping itu juga, pendidikan seks juga dapat mengetengahkan implikasi dan kesan yang diperolehi oleh pesalah gangguan seksual jika mereka terus melakukan gangguan seksual kepada murid-murid.

Selain itu, kursus, ceramah atau bengkel perlu dibuat bagi meningkatkan nilai-nilai dan tingkah laku yang teratur dan bertanggungjawab terutamanya yang melibatkan penjawat awam khususnya guru. Bagi mengatasi masalah ini hingga ke akar umbi, semua guru perlu menghadiri kursus yang dikendalikan oleh kerajaan bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab sebagai pendidik. Nilai murni seperti kemanusiaan, kasih sayang, nilai moral, etika, tanggungjawab dan sebagainya perlu di terapkan ke dalam diri semua guru dalam kursus ini bagi menyedarkan mereka tentang kesalahan gangguan seksual daripada terus berlaku. Nilai hidup yang positif dapat memelihara mereka daripada melakukan gangguan seksual yang bertentangan dengan norma hidup yang sewajarnya dipertahankan. Fullan (1993) menyatakan bahawa guru melibatkan diri secara produktif dalam proses perubahan,  guru mempunyai tujuan moral yang dikaitkan dengan dengan tugas dan tanggungjawab mereka.

Selain itu bagi menangani masalah tingkah laku guru yang negatif ini (gangguan seksual), kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu menggembleng tenaga dengan bersama-sama menyediakan kemudahan khidmat kaunseling khususnya kepada murid-murid yang mengalami gangguan seksual serta guru yang melakukan gangguan seksual. Di setiap sekolah perlu diwujudkan khidmat bimbingan dan kaunseling yang dikhaskan untuk guru bagi menangani isu gangguan seksual. Khidmat bimbingan dan kaunseling ini bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pakar kaunseling jika mereka terjebak dengan masalah ini. Menurut Shertzer dan Stone (1974) mengatakan bahawa bimbingan sebagai perkhidmatan membimbing individu yang memerlukannya untuk mencapai kefahaman, pengetahuan dan kemahiran tertentu.

Penguatkuasaan undang-undang juga adalah satu jalan mudah yang boleh diambil bagi mengatasi tingkah laku yang negatif. Penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan kes gangguan seksual dalam kalangan pendidik ini perlulah dibanteras dengan segera supaya kes seumpama ini dapat diatasi dengan segera.

Penguatkuasaan undang-undang seperti penjara, sebatan, hukuman dan sebagainya perlulah dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah ini agar tidak terus berleluasa. Dengan adanya penguatkuasaan seperti itu, tingkah laku negatif dalam kalangan guru mungkin dapat diatasi dan dibanteras dengan segera. Di samping itu juga, guru yang melanggar etika perguruan perlulah dilucutkan jawatannya. Ini dapat memberi pengajaran kepada guru-guru yang lain supaya tidak melakukan perkara yang tidak bermoral ini.

6.0 RUMUSAN

Berdasarkan kepada hujah-hujah dan huraian yang telah dikupaskan berdasarkan artikel tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa setiap guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik, terpuji, dihormati dan dapat dicontohi oleh murid. Pembentukan sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, peribadi yang unggul dan daya kepimpinan yang berkesan. Kebanyakan kualiti sahsiah seorang guru adalah hasil daripada latihan yang diikuti semasa menjalani kursus di institut perguruan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran yang berkesan.

            Walau bagaimanapun, sama ada seseorang guru itu menerima latihan perguruan atau tidak, dia mestilah mempunyai  sahsiah diri yang bagus terutamanya terhadap murid-murid. Guru yang mengamalkan budaya pembelajaran pasti tidak akan lari dari tugasnya untuk mendidik murid-muridnya dengan betul. Selain tugas dalam bilik darjah, guru perlu mengetahui peranan-peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat.

            Di samping itu juga, guru seharusnya berjaya  mempamerkan penampilan diri sebagai pendidik yang berkesan. Guru perlulah mempunyai kefahaman terhadap dasar dan aspirasi pendidikan negara yang jelas dan mantap. Guru yang bersahsiah tinggi akan menunjukkan etika cemerlang dalam perkhidmatan mereka. Guru dengan etiket sosial tidak dapat dipisahkan. Etiket sosial merupakan perilaku, budi bahasa, kebijaksanaan, imej, gerak-geri yang elok yang meyakinkan mengikut kesesuaian semasa berinteraksi terutamanya dalam perbualan sehariannya. Guru haruslah berupaya menjadi agen pembangunan dan pembaharuan dalam masyarakat dengan menampilkan etiket sosial yang disenangi semua.

            Guru adalah individu yang sering mendapat perhatian walau di mana sahaja mereka berada. Segala tindak-tanduknya sentiasa diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Adalah menjadi kewajipan bagi guru-guru mengamalkan penampilan diri dan menunjukkan kesantunan yang tinggi untuk memelihara martabat profesion perguruan. Oleh kerana guru menjadi idola dalam masyarakat, maka guru perlu berupaya menampilkan diri dan mengaplikasikan nilai-nilai kesantunan supaya dapat menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan yang dihadapinya.

3 comments:

  1. artikel dan info yang menarik....:-)

    ReplyDelete
  2. https://wsdofficial.blogspot.com/2017/11/tolak-barca-klopp-yakin-coutinho-100.html

    ReplyDelete