Sunday 2 September 2012

Ulasan Berkenaan Artikel Cadangan Kerja Sembilan Jam Atasi Beban Guru


1.0  PENGENALAN
Memikul tugas sebagai seorang guru tidak semudah melontarkan perkataan guru itu sendiri. Jika dilihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1989), terdapat frasa yang menggariskan pendidikan sebagai usaha berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi. Jika diteliti tugas untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini amatlah berat. Adalah sukar untuk membentuk manusia yang pelbagai latar belakang dan acuan rohaninya ke arah satu matlamat yang sama. Oleh yang demikian guru perlu menjadi insan yang mempunyai wibawa dalam tugas, mampu menangani masalah murid dan sentiasa berubah mengikut zaman (Fitri, 2006).
Profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang mendesak. Guru dianggap pakar dalam segala bidang (Abdul Rahin et al.2000) Tugas guru tidak sekadar masuk ke kelas mengajar dan memeriksa kertas peperiksaan sahaja namun lebih luas daripada itu. Kerjaya guru adalah satu profesion yang menuntut kesungguhan menyebarkan ilmu pengetahuan dengan tujuan untuk membina masyarakat yang bertamadun tinggi. Begitulah besarnya impak kerjaya guru kepada pembinaan negara. Begitu besarnya tanggungjawab seorang guru maka begitu besarlah bebanan tugas guru yang perlu dipikul.
Bebanan tugas dapat didefinasikan sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan kepada guru sama ada dilakukan di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah dan bertujuan untuk menyelesaikan kerja-kerja berkaitan dengan sekolah (Shukri, 1998). Beban tugas ini pula diukur dengan melihat kepada tugas masa yang diperuntukkan dalam seminggu. Melihat kepada takrifan beban tugas ini dapat disimpulkan bahawa tugas yang diberikan kepada guru mampu memberi tekanan apatah lagi jika tugas tersebut diberi secara berlebihan. Tugas yang dibebankan kepada guru perlulah mengambil kira prioriti tanggungjawab guru tersebut
Seiring dengan perkembangan dunia pendidikan, pengalaman guru juga bertambah. Walau bagaimanapun, kemampuan guru untuk menghadapi beban tugas yang diberikan bergantung kepada individu. Beban tugas yang terlalu besar akan mengganggu emosi dan seterusnya memberi kesan kepada kualiti pengajaran guru tersebut (Fitri, 2006).
Pelbagai langkah perlu diambil untuk mengatasi masalah ini. Hal ini untuk memastikan fokus guru untuk mendidik tidak terganggu. Tidak dinafikan guru juga perlu bertanggungjawab terhadap pelbagai data berkaitan murid, malah guru juga perlu tahu data-data muridnya untuk memudahkan guru menyesuaikan kaedah pengajaran namun begitu tugasan selain mendidik yang diberikan kepada guru perlu berpada dengan tanggungjawab utama seorang guru.

Ulasan Berkenaan Artikel Gangguan Seksual Guru Terhadap Murid



1.0 PENGENALAN

Sebagai seorang guru yang merupakan satu profesion, kita sering lupa dengan kod dan etika sebagai seorang guru. Etika dan kod etika ini merupakan peraturan dan landasan yang perlu dituruti oleh seseorang yang bergelar profesional. Malangnya, kebanyakan guru hanya melihat profesion keguruan ini hanya kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sahaja dan tidak melihat pada aspek lain menyebabkan ketirisan dalam dunia pendidikan dewasa ini. Sebagai warga pendidik, kita haruslah sedar bahawa masalah yang kita hadapi sekarang dan membawa profesion ini kembali ke landasan yang sebenar supaya tidak lari dari garis sempadan yang ditetapkan.

Etika merupakan satu sistem dasar akhlak, adat dan tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka) yang merupakan prinsip moral atau set prinsip moral. Etika juga boleh dikatakan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang terhadap masyarakat. Menurut dari perspektif Islam, merujuk kepada tingkah laku yang betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.


Manakala, kod etika profesional pula membawa maksud semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan, dan peradaban termasuk peranan nilai, setiap tingkah laku profesional dalam masyarakat.  Etika profesional ini mencakupi sebahagian besar kehidupan mereka yang mengamalkan sesuatu profesion kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi. Dalam Islam pula, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.



Mengambil kira huraian di atas, dapatlah kita membuat konklusi bahawa etika merupakan satu sistem dasar tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Manakala kod etika pula menjelaskan tindakan-tindakan yang betul yang perlu dituruti dan tindakan-tindakan salah yang perlu dihindari. Badan profesional tertentu  mempunyai kod etika tertentu, termasuklah profesion perguruan ini. Setiap profesion akan menetapkan nilai-nilai asas yang perlu ditaati oleh semua insan yang menjalankan pekerjaan tersebut yang dinyatakan sebagai Kod Etika. Oleh itu, etika profesional ialah nilai-nilai atau tingkah laku murni yang harus dihayati oleh individu-individu mengikut profesional masing-masing. Terdapat 4 Kod Etika Perguruan yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam Tatasusila Profesion Keguruan iaitu:




Rajah 1: Empat Kod Etika Perguruan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ulasan Berkenaan Artikel Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan-Utusan Malaysia (13 Jan 2010)


1.0    PENGENALAN
            Pergerakan masa sememangnya turut membawa perubahan kepada dunia pendidikan. Sememangnya perubahan yang wujud dalam dunia pendidikan ini merupakan satu aspek yang penting agar system pendidikan kita sentiasa sinonim dengan keperluan semasa dan sejajar dengan pergerakan kemajuan dunia.  
            Hakikatnya perubahan tersebut turut mewujudkan pelbagai isu yang perlu ditempuhi dan diharungi oleh warga dunia pendidikan khususnya barisan guru-guru. Salah satu isu perubahan yang ingin diketengahkan adalah berkenaan dengan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan.
Pada tanggal 13 Januari 2010, pihak Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel berkenaan dengan ucapan Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yasin iaitu mengenai penguasaan guru dalam teknologi maklumat dan komunikasi diutamakan.
Perenggan pertama artikel berkenaan mengetengahkan isu penguasaan golongan guru terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Perenggan kedua artikel ini pula berkisar mengenai kursus dan program yang dilaksanakan kepada barisan pentadbiran dan guru-guru sekolah bagi mewujudkan golongan celik komputer.
Isu berkenaan dengan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi yang telah disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan turut diselitkan dalam perenggan keempat dalam artikel tersebut. Selain itu juga, penekanan berkenaan infrastuktur pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah turut terkandung dalam perenggan kelima artikel berkenaan.
Antara isu lain yang terkandung dalam artikel berkenaan adalah cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Isu berkenaan cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan akan dihuraikan melalui punca permasalahan lantas mewujudkan cabaran-cabaran tersebut. Malahan huraian berkenaan cara mengatasi cabaran-cabaran tersebut turut diselitkan dalam tugasan ini.