1.0 PENGENALAN
Memikul tugas sebagai
seorang guru tidak semudah melontarkan perkataan guru itu sendiri. Jika dilihat
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1989), terdapat frasa yang menggariskan
pendidikan sebagai usaha berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dan
harmoni dari aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi. Jika diteliti tugas
untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini amatlah berat. Adalah
sukar untuk membentuk manusia yang pelbagai latar belakang dan acuan rohaninya ke
arah satu matlamat yang sama. Oleh yang demikian guru perlu menjadi insan yang
mempunyai wibawa dalam tugas, mampu menangani masalah murid dan sentiasa
berubah mengikut zaman (Fitri, 2006).
Profesion perguruan adalah bidang
kerjaya yang mendesak. Guru dianggap pakar dalam segala bidang (Abdul Rahin et al.2000) Tugas guru tidak sekadar
masuk ke kelas mengajar dan memeriksa kertas peperiksaan sahaja namun lebih
luas daripada itu. Kerjaya guru adalah satu profesion yang menuntut kesungguhan
menyebarkan ilmu pengetahuan dengan tujuan untuk membina masyarakat yang
bertamadun tinggi. Begitulah besarnya impak kerjaya guru kepada pembinaan
negara. Begitu besarnya tanggungjawab seorang guru maka begitu besarlah bebanan
tugas guru yang perlu dipikul.
Bebanan tugas dapat didefinasikan
sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan kepada guru sama ada dilakukan di
dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah dan bertujuan untuk menyelesaikan
kerja-kerja berkaitan dengan sekolah (Shukri, 1998). Beban tugas ini pula
diukur dengan melihat kepada tugas masa yang diperuntukkan dalam seminggu. Melihat
kepada takrifan beban tugas ini dapat disimpulkan bahawa tugas yang diberikan
kepada guru mampu memberi tekanan apatah lagi jika tugas tersebut diberi secara
berlebihan. Tugas yang dibebankan kepada guru perlulah mengambil kira prioriti
tanggungjawab guru tersebut
Seiring dengan perkembangan dunia
pendidikan, pengalaman guru juga bertambah. Walau bagaimanapun, kemampuan guru
untuk menghadapi beban tugas yang diberikan bergantung kepada individu. Beban
tugas yang terlalu besar akan mengganggu emosi dan seterusnya memberi kesan
kepada kualiti pengajaran guru tersebut (Fitri, 2006).
Pelbagai langkah perlu diambil untuk
mengatasi masalah ini. Hal ini untuk memastikan fokus guru untuk mendidik tidak
terganggu. Tidak dinafikan guru juga perlu bertanggungjawab terhadap pelbagai
data berkaitan murid, malah guru juga perlu tahu data-data muridnya untuk
memudahkan guru menyesuaikan kaedah pengajaran namun begitu tugasan selain
mendidik yang diberikan kepada guru perlu berpada dengan tanggungjawab utama
seorang guru.
2.0
TUGAS-TUGAS GURU
Tugas guru tidak
tertakluk kepada mengajar sahaja. Mengajar adalah sebahagian kecil daripada
tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru. Menurut Shukri (1998), selain
mengajar, guru juga berperanan untuk merancang, mentadbir, mengelola dan
menilai. Berdasarkan Buku Panduan Tugas Guru dan Kakitangan (2011), tugas guru
dapat dibahagikan kepada sepuluh bahagian iaitu :
i.
Tugas mengajar
ii.
Pentadbiran bilik darjah
iii.
Peperiksaan dalaman
iv.
Peperiksaan luaran
v.
Penjagaan disiplin
vi.
Pentadbiran sekolah
vii.
Aktiviti-aktiviti
ko-kurikulum
viii.
Tugas-tugas separa
profesional
ix.
Tugas-tugas bukan profesion
x.
Tugas-tugas lain
1.1
Tugas Mengajar
Tugas
mengajar memerlukan guru untuk mengajar subjek-subjek tertentu mengikut
kelayakan guru tersebut. Namun begitu guru tersebut juga perlu menguasai
kemahiran yang diperlukan untuk mengajar subjek tersebut serta mampu menghurai
kandungan sukatan pelajaran dan huraian sukatan tersebut.
Selain itu, guru juga perlu menyediakan buku
rekod pengajaran yang lengkap beserta rancangan pengajaran bagi tempoh
setahun/sepenggal/seminggu/sehari dan melaksanakan pengajaran berdasarkan
rancangan yang telah dirangka. Guru juga perlu menyediakan latihan kepada murid
serta memeriksa buku latihan tersebut sebelum ditunjukkan kepada pihak
pentadbir.
Sekiranya guru dapat mengesan kelemahan dalam
pelajaran di kalangan muridnya, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk
menjalankan kelas bimbingan selain memberikan ujian untuk mengesan kelemahan
murid tersebut. Ujian dan rekod tersebut perlu direkodkan dalam buku rekod
mengajar.
Sebagai guru yang mengajar subjek, guru perlu
menjadi ahli dalam panitia subjek yang diajar serta menghadiri dan melibatkan
diri dalam mesyuarat dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh panitia.
Sekiranya pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat
Pendidikan Daerah mengelolakan taklimat atau mesyuarat, guru yang berkaitan
perlu menghadirinya dan menebarkan maklumat yang diperoleh kepada guru-guru
yang mengajar subjek yang sama.
Tempat mengajar tidak terhad di dalam kelas
sahaja tetapi untuk subjek-subjek tertentu seperti Kemahiran Hidup memerlukan
murid bergerak dan belajar di dalam bilik khas yang disediakan. Guru menjadi
individu yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan murid-murid disamping
menjaga kebersihan dan keselamatan alatan yang digunakan.
2.2
Pentadbiran Bilik Darjah
Dalam mentadbir bilik darjah, terdapat beberapa bidang
tugas yang perlu dilaksanakan oleh guru. Hal ini termasuklah menjalankan
kutipan pelbagai yuran yang dikenakan oleh pihak sekolah. Selain itu, guru juga
perlu memastikan hubungan dengan ibu bapa terus berlaku dengan melakukan urusan
surat menyurat sekiranya perlu.
Guru juga perlu menyimpan daftar kelas
selain menyimpan maklumat-maklumat peribadi murid seperti fail peribadi
pelajar, buku penyata kemajuan, buku pelaporan ko-kurikulum dan penyediaan
surat akuan dan sijil. Selain itu, guru juga perlu sentiasa mengawal dan menyelia
keadaan kelas.
2.3
Peperiksaan Dalaman
Bidang tugas peperiksaan dalaman pula meliputi penyediaan
soalan-soalan peperiksaan. Soalan-soalan ini perlu disediakan mengikut takwim
peperiksaan yang disediakan oleh pihak sekolah. Semasa peperiksaan dijalankan,
guru perlu mengawas peperiksaan yang sedang berlangsung agar tiada sebarang
penipuan dan keputusan yang diperoleh lebih telus.
Setelah selesai peperiksaan, guru perlu
memeriksa skrip jawapan yang dijawab oleh murid untuk diberi markah dan
dijalankan penggredan. Setelah itu, analisis keputusan akan dijalankan untuk
melihat prestasi murid secara keseluruhannya.
2.4
Peperiksaan Luaran
Peperiksaan luaran bermaksud peperiksaan yang dijalankan
dan dikelolakan oleh pihak selain daripada pihak sekolah dan kebiasaannya
peperiksaan ini dijalankan serentak di seluruh negara dan melibatkan semua
murid pada tahun-tahun yang tertentu seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah.
Oleh yang demikian, tugas guru hanya melibatkan kutipan yuran-yuran yang
berkaitan, mengisi borang kemasukan peperiksaan dan menjadi pengawas
peperiksaan sekiranya diarahkan.
2.5
Penjagaan Disiplin
Skop bidang tugas dalam penjagaan disiplin pula
merangkumi pengawasan disiplin murid-murid secara amnya. Hal ini bermaksud guru
dibenarkan untuk menegur atau menunjuk ajar sekiranya terdapat murid yang
melakukan kesalahan. Aspek kebersihan juga terkandung dalam skop tugas
penjagaan disiplin. Guru bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan kelas dan
diri murid seperti pakaian sentiasa terjaga dan mematuhi peraturan sekolah.
2.6
Pentadbiran Sekolah
Melalui bidang tugas ini terbukti bahawa tugas guru tidak
terhenti pada tugas mengajar sahaja. Guru juga perlu terlibat dalam aspek
pentadbiran bagi melicinkan perjalanan urusan di sekolah. Antara perkara yang
perlu dilakukan adalah membantu tadbir bilik-bilik seperti makmal sains, bilik
seni, bilik muzik, bengkel dan sebagainya.
Selain itu, guru juga terlibat dalam
mentadbir perkara seperti pembahagian buku teks, pengagihan jadual waktu kepada
guru-guru dan mengkoordinasi kerja dalam pelbagai kelas atau mata pelajaran.
Hal ini penting untuk mengelakkan percanggahan dan pertindihan masa dan
tugasan.
2.7
Aktiviti-aktiviti Ko-kurikulum
Aktiviti-aktiviti ko-kurikulum perlu dijalankan di dalam
kawasan sekolah dan perlu mematuhi peraturan dan arahan yang telah diberikan.
Aktiviti ko-kurikulum ini meliputi badan beruniform, persatuan dan kelab.
Selain menjalankan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, guru juga perlu merekodkan
dan menyelia setiap aktiviti yang dijalankan.
2.8
Tugas-tugas Separa Profesional
Tugas-tugas separa profesional bermaksud tugas-tugas yang
secara tidak langsung mempunyai hubungan dengan murid. Dalam lain perkataan,
tugas-tugas separa profesional ini merujuk kepada aktiviti-aktiviti kepada murid
atau memberi manfaat kepada murid yang memerlukan guru sebagai pengelola atau
penggerak aktiviti tersebut.
Tugas-tugas ini melibatkan perkara
seperti lawatan ke luar kawasan sekolah sama ada dengan tujuan pertandingan,
perlawanan sukan atau lawatan ilmiah. Selain itu, guru juga bertanggungjawab
menganjurkan perayaan-perayaan dan upacara khas dan projek-projek pembangunan
sekolah. Walaupun terdapat aktiviti yang tidak melibatkan murid secara khusus
seperti projek pembangunan sekolah namun hasil akhir projek tersebut memberi
manfaat kepada seluruh warga sekolah termasuk murid.
2.9
Tugas-tugas Bukan Profesion
Tugas-tugas bukan profesion ini dilihat sebagai tugas
yang tidak bersentuhan dengan tugas utama guru sebagai pendidik kepada
masyarakat. Tugas ini juga dapat dilihat sebagai tanggungjawab sosial seorang
guru kepada sekolah dan masyarakat.
Antara perkara yang terkandung di dalam
tugas-tugas bukan profesion adalah penjagaan bangunan sekolah serta keceriaan
dan kebersihan sekolah. Guru perlu memastikan sekolah tempat yang sentiasa
bersih dan ceria agar murid-murid yang hadir ke sekolah dapat belajar dalam
suasana yang selesa. Selain itu, guru juga perlu mengawal lalu lintas dan
mengawal keselamatan sekolah dan murid. Oleh yang demikian, guru perlu melaporkan
sebarang kerosakan yang terdapat di kawasan sekolah dan menetapkan peraturan
lalu lintas bagi murid-murid dan ibu bapa yang hadir ke sekolah.
Sekiranya terdapat kes-kes khas seperti
murid sakit atau mempunyai masalah yang menghalang untuk hadir ke sekolah, guru
perlu melawat rumah murid berkenaan. Selain mendapat info yang jelas tentang
keadaan dan masalah murid, guru juga secara tidak langsung dapat mengeratkan
hubungan antara guru dan pihak ibu bapa. Seterusnya, untuk membantu murid dalam
pelajaran, guru dikehendaki untuk menjual buku-buku latihan kepada murid-murid.
2.10
Tugas-tugas Lain
Sebagai ketua dalam sebuah organisasi sekolah, Guru Besar
mempunyai kuasa untuk mengarahkan para guru melakukan tugas tertentu sekiranya
tugas tersebut mendatangkan manfaat kepada sekolah. Oleh yang demikian,
tugas-tugas lain ini adalah tugas-tugas yang berkaitan yang diarahkan oleh Guru
Besar dari semasa ke semasa.
Berdasarkan
senarai tugasan guru ini jelaslah bahawa tugas guru bukan hanya sekadar
mengajar tetapi perlu meliputi keseluruhan urusan yang berkaitan dengan murid.
Secara ringkasnya dapat dinyatakan tugas guru terdiri daripada dua bahagian
iaitu pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran
sekolah. Namun begitu di bawah setiap bahagian ini terdiri pelbagai lagi
pecahan bidang tugas yang menuntut kecekalan guru untuk melaksanakannya. Guru Besar selaku ketua pentadbiran di
sekolah perlu ambil cakna senario ini. Oleh yang demikian Guru Besar perlu
lebih prihatin dan melakukan pembahagian tugas yang lebih adil serta
menitikberatkan kebajikan guru agar guru merasakan bebanan tugas yang dipikul
dapat dikurangkan.
3.0
BEBANAN TUGAS GURU
Selain ibu bapa di rumah, guru adalah insan yang
bertanggungjawab membentuk jiwa dan mencanai sahsiah bagi menentukan jatuh
bangunnya generasi akan datang. Oleh yang demikian guru harus memainkan
tanggungjawabnya untuk mendidik dengan penuh kesungguhan dan rasa
tanggungjawab. Seandainya guru lalai dalam melaksanakan amanahnya, maka
besarlah kemungkinan untuk melihat generasi akan datang hidup dalam kepincangan
jiwa dan kerendahan sahsiah (Shukri, 1998). Berpaksikan perkara ini jelaslah
bahawa guru adalah komponen penting dalam menjadikan negara diisi oleh rakyat
yang bukan sahaja berilmu malah mempunyai jiwa dan sahsiah yang cemerlang.
Sistem pendidikan dan matlamat
pendidikan negara yang telah dirangka dilihat begitu murni matlamatnya. Namun
begitu guru sebagai pelaksana perlu mempunyai prestasi kualiti yang baik untuk
memastikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan. Namun
begitu tekanan dan bebanan kerja akan mempengaruhi kualiti pengajaran guru dan
seterusnya mempengaruhi prestasi dan kecekapan guru (Sazali, 1997). Keadaan ini
diburukkan lagi dengan tekanan daripada masyarakat dan jangkaan yang tinggi di
berikan kepada para guru (Soh, 1987).
Dewasa ini tugas guru bukan hanya di
dalam bilik darjah tetapi melibatkan juga kerja-kerja pengkeranian (Saudi,
1998). Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Salwa (1996), purata waktu
bekerja seorang guru adalah 65.77 jam seminggu. Daripada jumlah itu 37.67 jam
digunakan untuk menguruskan dan menjalankan hal ehwal akademik manakala baki
28.10 jam pula digunakan untuk tugas bukan akademik. Tugas ini dtambah lagi
dengan tugasan jawatan yang dipegang oleh guru. Secara purata seorang guru
memegang enam jawatan yang mencakupi tugas sebagai guru kelas, tugas berkaitan
dengan aktiviti ko-kurikulum dan tugas-tugas khas yang diberikan. Hasil kajian
ini juga menunjukkan guru secara umumnya menyatakan beban tugas yang digalas
adalah berat.
Laporan yang dikemukakan oleh
Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Guru (2010) terhadap 17 orang guru
pula menunjukkan 8 daripada 17 orang guru diperuntukkan bilangan waktu mengajar
melebihi 29 waktu seminggu. 9 daripada 17 orang guru menyatakan waktu bertugas
mereka yang merangkumi waktu pengajaran dan pembelajaran adalah melebihi 66 jam
seminggu. Laporan ini juga menyatakan kesemua 17 orang guru bersetuju bahawa
mereka tidak mempunyai senarai khusus tentang tugas dan tanggungjawab yang
sebenar serta masih tidak jelas masa bertugas yang sebenar. Selain itu, kesemua
17 orang guru juga bersetuju bahawa beban utama yang dipikul adalah kerja-kerja
pengkeranian.
Beban guru adalah pelbagai. Malah pada
masa kini banyak kerja-kerja pengkeranian yang terpaksa dilakukan oleh guru.
Hal ini ditambah lagi dengan soal disiplin murid, pengurusan bilik darjah,
jadual waktu dan penyediaan rancangan dan bahan pengajaran (Lim, 1995). Oleh
yang demikian sering berlaku kerja-kerja guru dibawa pulang ke rumah. Secara
tidak langsung waktu kerja guru sebenarnya melebihi waktu kerja pemegang
jawatan yang lain.
Tugas guru pada hari ini amat penting
kerana guru adalah sebahagian daripada subjek penting bagi melakar potret
kejayaan negara. Beban yang terlalu besar yang diletakkan di bahu para guru
mampu menyebabkan para guru tersasar di landasan untuk mencipta murid yang
cemerlang. Hal ini kerana tugas utama untuk mendidik tidak dapat dilakukan
dengan sebaik mungkin (Saudi, 1998). Justeru itu adalah begitu wajar sekiranya
pihak-pihak yang berkenaan dapat mengkaji semula dengan lebih teliti berkaitan
isu ini. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan guru berasa tertekan dengan
bebanan tugas yang tidak sepatutnya. Dikhuatiri tekanan yang dialami oleh guru
ini akan mempengaruhi kualiti penyampaian ilmu seorang guru itu. Tidak dapat
dinafikan bebanan guru itu bergerak seiring dengan impian negara bagi mencapai
status negara maju namun begitu perlu menjadi keutamaan untuk melahirkan modal
insan yang berkualiti dan usaha ini perlu bermula daripada sekolah. Adalah satu
kerugian kepada negara jika usaha ini terencat dan terganggu sejak dari
awalnya.
4.0
LANGKAH MENGURANGKAN BEBAN KERJA GURU
Isu beban kerja guru telah membuka mata banyak pihak
betapa guru selama ini telah dibebankan dengan pelbagai tugasan yang tidak
sepatutnya sehingga mengganggu fokus utama guru untuk mendidik. Bukan itu
sahaja, bebanan tugas yang banyak ini mampu mendatangkan stress kepada guru.
Menurut Sazali (1997), kebanyakan guru melaporkan mereka menghadapi tekanan dan
burn out pada peringkat tertentu
kerjaya mereka. Hal ini seterusnya memberi kesan kepada tahap profesionalisme mereka
dalam mengendali sesuatu perkara.
Oleh yang demikian, pelbagai pihak
termasuk tokoh akademik telah memberi beberapa syor dalam menangani masalah
ini. Antaranya adalah Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, bekas Ketua Pengarah
Pelajaran seperti yang dinyatakan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 24 Mei
2010. Empat syor yang diberikan oleh beliau adalah memanfaatkan sepenuhnya
peranan ibu bapa untuk menjayakan aktiviti di sekolah, mengoptimumkan
pembabitan sektor swasta dalam pembangunan bidang pendidikan, mempergiat
sumbangan bekas pelajar serta mewujudkan persatuan pesara guru. Tambah beliau
lagi, syor yang dicadangkan ini tercetus melalui konsep ‘memasyarakatkan pendidikan’
dan tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan. Walau bagaimanapun,
usaha ini perlu melibatkan sektor swasta, pihak ibu bapa dan kerajaan untuk
melihat konsep ini dapat direalisasikan.
Usaha untuk menangani beban tugas guru
juga dapat dilihat melalui pembentukan Jawatankuasa Khas Menangani Masalah
Beban Tugas Guru pada 2010. Melalui penubuhan jawatankuasa ini yang bertujuan
untuk menyenaraikan tugas dan tanggungjawab guru, mengenalpasti faktor-faktor
yang menyebabkan beban guru bertambah selain mencadangkan langkah-langkah bagi
menangani beban tugas guru antara lain telah mengesyorkan 13 langkah yang boleh
diambil untuk mengurangkan beban kerja guru. 13 langkah tersebut adalah:
i.
Ujian amali diadakan sekali
sahaja semasa peperiksaan.
ii.
Kecilkan saiz kelas.
iii.
Tambah bilangan guru.
iv.
Wujudkan jawatan pembantu
bengkel.
v.
Kurangkan masa mengajar guru
(termasuk guru disiplin).
vi.
Adil dalam agihan tugas.
vii.
Utamakan kebajikan guru.
viii.
Sediakan kemudahan yang
sesuai mengikut spesifikasi penjawat awam yang lain.
ix.
Kurangkan aktiviti hari
sabtu atau pengecualian dari bertugas pada hari sabtu seperti penjawat awam
yang lain.
x.
Menjadikan cuti rehat khas
hak guru.
xi.
Mewujudkan jawatan khas
untuk ko-kurikulum.
xii.
Meningkatkan kerjasama
dengan komuniti dan PIBG melalui perkongsian pintar.
xiii.
Mewujudkan jawatan pembantu
guru untuk kerja-kerja pengkeranian.
Kesemua syor yang dikemukan oleh
Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Guru ini dilihat lebih menyeluruh.
Selain melibatkan guru biasa dalam menangani isu ini, cadangan-cadangan yang
dikemukakan juga melibatkan pentadbir di sekolah selain melibatkan pihak pemerintah
sebagai pembina dasar. Tambahan lagi, syor-syor yang dicadangkan juga
mengutamakan kebajikan guru.
Perkara ini senada dengan cadangan yang
dikemukan oleh Shukri (1998) yang mencadangkan perlu diwujudkan kakitangan
sokongan untuk membantu kerja-kerja pengkeranian guru dan perlunya diberi elaun
kepada guru untuk melakukan kerja-kerja lebih masa. Tambahnya lagi tugas yang
diberikan kepada guru perlu bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran yang ada
pada guru tersebut dan tidak mengakibatkan guru tersebut terbeban.
Salwa (1996) pula mencadangkan saiz
kelas dikecilkan kepada 35 orang untuk satu kelas. Selain itu, beliau juga
mencadangkan tugasan akademik perlu dihadkan kepada 39.80 jam seminggu dan
tugas bukan akademik dikecilkan kepada 4.23 jam seminggu. Waktu yang disyorkan
ini menunjukkan perbezaan yang ketara berbanding 66 jam waktu bertugas (dengan
menggabungkan tugasan akademik dan bukan akademik) seperti yang dilaporkan oleh
Jawatankuasa Khas Menangani Masalah Beban Guru.
Cadangan yang dikemukan tidak harus
dipandang sepi. Pihak yang berkaitan perlu mengambil langkah yang proaktif
untuk membantu menangani masalah beban kerja guru ini. Perkara ini perlu
dipandang serius untuk membantu para guru mencapai kepuasan kerja yang tinggi
tanpa stres dengan tidak membebankan para guru dengan bebanan kerja yang
melampau. Sudah tiba masanya profesion guru ini diangkat kembali prestij dan
kualitinya, bukan hanya menjadi mangsa cemuhan dan kritikan masyarakat. Untuk
mencapai hasrat sedemikian sudah tentulah kualiti pengajaran guru perlu
ditingkatkan terlebih dahulu dengan cara mengutamakan fokus guru untuk
mendidik. Dengan itu hasrat untuk melahirkan generasi yang berilmu dan
bersahsiah tinggi bukan lagi menjadi omongan kosong.
5.0
PENUTUP
Isu beban tugas guru bukan lagi isu baru. Malah tidak
keterlaluan jika dikatakan isu ini sudah menjadi isu lapuk yang seperti tiada
penghujungnya. Saban tahun guru akan terus mengeluh dengan bebanan kerja yang
dialami sehingga mengganggu tanggungjawab utama untuk mendidik
Penyelesaian isu ini tidak dapat
dilakukan dengan penglibatan satu pihak sahaja. Turutan penyelesaian perlu
bermula daripada penggubal dasar (kerajaan) sehingga pelaksana dasar (guru). Oleh
yang demikian pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu mengkaji
semula tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada guru. Pelaksanaan tugasan yang
tidak terurus akan menimbulkan masalah kepada guru dan murid juga menerima
impaknya.
Seterusnya, kurikulum yang telah digubal
tidak perlu terlalu kerap diubah. Hal ini akan menyebabkan guru tidak bersedia
dengan kemahiran disamping kurikulum yang baru itu menuntut pelbagai urusan
untuk disesuaikan dengan infrastruktur yang tersedia di sekolah. Keadaan ini
ditambah lagi dengan tekanan daripada pihak ibu bapa yang sentiasa mahukan
keputusan yang cemerlang tanpa mengira apa yang dialami oleh guru. Walhal jika
diteliti semua pihak bersetuju keputusan pepriksaan bukanlah menjadi penentu
kejayaan (Sazali, 1997).
Kecenderungan pihak penggubal dasar yang
hanya menekankan matlamat kepada murid membuatkan kebajikan terhadap guru
terabai. Benar tugas guru adalah mendidik murid tetapi perlulah relevan dengan
kemampuan yang sedia ada. Pihak penggubal dasar perlu melihat kembali perkara
yang perlu dilaksanakan untuk merealisasikan hasrat yang dicita dan bukannya
menggubal dasar secara semberono. Ini bermakna segala kekangan yang bakal dan
sedia dihadapi oleh guru perlu dilihat.
Pihak yang lain terutamanya pihak ibu
bapa tidak boleh beranggapan tugas mendidik adalah tugas guru semata-mata. Ibu
bapa perlu memainkan peranan memantau anak-anak mereka dari aspek disiplin dan
memberi pelajaran asas bagi meringankan bebanan guru.
Secara tuntasnya, kerjasama yang
menyeluruh daripada setiap pihak perlu untuk menjadikan isu ini dapat
diselesaikan dan seterusnya menjadikan kualiti pengajaran bertambah baik
disamping negara dapat melahirkan modal insan yang mampu untuk memacu negara
kearah kejayaan dan kemajuan lahiriah dan rohani.
No comments:
Post a Comment