1.0 PENGENALAN
Pergerakan
masa sememangnya turut membawa perubahan kepada dunia pendidikan. Sememangnya
perubahan yang wujud dalam dunia pendidikan ini merupakan satu aspek yang
penting agar system pendidikan kita sentiasa sinonim dengan keperluan semasa
dan sejajar dengan pergerakan kemajuan dunia.
Hakikatnya
perubahan tersebut turut mewujudkan pelbagai isu yang perlu ditempuhi dan
diharungi oleh warga dunia pendidikan khususnya barisan guru-guru. Salah satu
isu perubahan yang ingin diketengahkan adalah berkenaan dengan pengintegrasian
teknologi maklumat dalam pendidikan.
Pada tanggal 13 Januari 2010, pihak Utusan Malaysia telah
menyiarkan satu artikel berkenaan dengan ucapan Menteri Pelajaran Malaysia yang
juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yasin iaitu mengenai penguasaan
guru dalam teknologi maklumat dan komunikasi diutamakan.
Perenggan
pertama artikel berkenaan mengetengahkan isu penguasaan golongan guru terhadap
bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Perenggan kedua artikel ini pula berkisar mengenai kursus dan program
yang dilaksanakan kepada barisan pentadbiran dan guru-guru sekolah bagi
mewujudkan golongan celik komputer.
Isu berkenaan dengan inisiatif teknologi maklumat
dan komunikasi yang telah disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan
turut diselitkan dalam perenggan keempat dalam artikel tersebut. Selain itu
juga, penekanan berkenaan infrastuktur pembangunan teknologi
maklumat dan komunikasi di sekolah turut terkandung dalam perenggan kelima
artikel berkenaan.
Antara
isu lain yang terkandung dalam artikel berkenaan adalah cabaran teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Isu berkenaan cabaran teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan akan dihuraikan melalui punca
permasalahan lantas mewujudkan cabaran-cabaran tersebut. Malahan huraian
berkenaan cara mengatasi cabaran-cabaran tersebut turut diselitkan dalam
tugasan ini.
2.0 ISU-ISU BERKENAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) DALAM PENDIDIKAN MENERUSI ARTIKEL UTUSAN MALAYSIA 13 JANUARI 2010.
Sebelum isu-isu yang terdapat dalam artikel
Utusan Malaysia tersebut diulas dengan lebih mendalam, wajarlah konsep
teknologi maklumat dan komunikasi dikupas secara ringkas terlebih dahulu.
Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang
berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Yusuf
Hashim menyatakan bahawa bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses
dan perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) menyatakan bahawa teknologi
maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang
diperlukan untuk pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas
iaitu berkenaan dengan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat.
Secara tepat dan mudahnya, teknologi maklumat dan
komunikasi adalah satu medium untuk berhubung, menyimpan, melindungi, memproses,
memindah, melihat dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Berbalik
semula kepada artikel Utusan Malaysia yang bertarikh 13 Januari 2010 tersebut,
isu berkenaan penekanan penguasaan teknologi maklumat dan
komunikasi kepada barisan guru merupakan agenda utama artikel tersebut. Selain
daripada itu juga, beberapa isu lain yang berkaitan seperti program teknologi
maklumat dan komunikasi yang dilaksanakan kepada guru, inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi yang
telah disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan, infrastuktur
pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah dan yang
terakhir sekali adalah berkenaan dengan cabaran teknologi maklumat dan
komunikasi dalam pendidikan.
2.1
Penekanan Penguasaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kepada Guru.
Tumpuan
dan penekaan terhadap penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi kepada guru sememangnya
mempunyai tujuan yang penting untuk dicapai. Hal ini adalah guru merupakan
penggerak dalam sesuatu sesi proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Ahmad
Subki (2012), guru bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran seseorang
individu dan guru harus menggunakan kaedah dan teknik pengajaran yang mampu
menarik minat murid. Rentetan daripada kepentingan itulah barisan guru perlu
diberi penekanan agar dapat menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi
agar kepentingannya dapat dicapai.
Tambahan
lagi, menurut Yazid (2001), guru adalah merupakan sumber kepada keberkesanan
pendidikan. Walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, sekiranya agen yang
menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin disampaikan tidak akan
tercapai matlamatnya. Jelas di sini menunjukkan bahawa guru merupakan satu
medium dalam mencapai keberkesanan pendidikan. Oleh kerana itulah penguasaan
guru terhadap bidang teknologi
maklumat dan komunikasi perlu diberi perhatian.
Kepentingan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi
kepada guru juga dapat dilihat daripada kenyataan yang tertulis dalam Dewan
Masyarakat (Mei 2012) yang menyatakan bahawa kesan globalisasi dan liberalisasi
menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK,
teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan. Guru yang aktif dan
bersikap terbuka akan sentiasa melihat teknologi baharu sebagai perkara yang
positif dan berusaha mencari alternatif yang terbaik bagi menguasainya.
Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran akan menghasilkan generasi berteknologi
yang mampu mengharungi era globalisasi, sekali gus merealisasikan impian negara
agar menjadi negara maju pada 2020. Atas dasar kepentingan inilah barisan
guru-guru di Malaysia perlu memperkukuhkan diri dengan kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi. Hal ini adalah kerana barisan guru adalah titik
permulaan dalam memastikan kejayaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.
Selain daripada itu juga, penekanan terhadap penguasaan
teknologi maklumat dan komunikasi kepada golongan guru adalah bagi mencapai
hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Dr. Ismail
Zain (2008) yang dipetik daripada Utusan Malaysia menyatakan bahawa kebestarian
sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauhmanakah seseorang guru dapat
mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses
penyampaian ilmu ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikiran kritis dan
kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam
keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada
Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan negara. Jelas
menerusi perenggan ini penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan
komunikasi mampu mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain daripada itu, penguasaan guru dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi menurut Wan Mustama (2004) dalam Jurnal
Pengurusan Dan Pentadbiran Pendidikan adalah usaha bagi meningkatkan kemahiran
guru terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka
lebih kreatif dan inovatif dalam teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu
dan pengetahuan lebih luas. Daripada kenyataan tersebut jelas menunjukkan
bahawa kini ilmu pengetahuan bukan sekadar diperoleh daripada bahan-bahan bercetak
malahan ianya kian berkembang dalam dunia tekonologi maklumat. Oleh hal
demikian, guru yang berupaya menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi
dilihat mampu memperkukuhkan lagi ilmu pengetahuan sedia ada. Selain daripada
itu juga, guru yang kreatif dan inovatif kesan daripada penguasaan bidang
teknologi maklumat dan komunikasi amat penting bagi memperkembangan potensi murid secara bersepadu dan
menyeluruh yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Hal ini
diperkukuhkan dengan kenyataan Ab. Rahim Selamat (1992) iaitu melalui pengajaran & pembelajaran kreatif dan inovatif
guru, murid dapat memperoleh ilmu pengetahuan, menguasai kemahiran dan
mengamalkan sikap dan nilai serta dapat mengembangkan daya kreativiti dan
inovasi mereka.
Tambahan
lagi, menurut cadangan Lembaga Peperiksaan Negara yang dipetik oleh Naim Hj
Ahmad (2000), guru yang kreatif dan
inovatif dalam ICT akan mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi menarik minat murid
menggunakan bahan-bahan yang sesuai dari internet untuk tujuan pengayaan,
mempelbagaikan teknik penyampaian dalam bilik darjah bagi membolehkan pelajar
memahami konsep serta menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan.
Kesimpulannya
penguasaan guru dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi merupakan satu elemen penting dalam
kerjayanya sebagai pendidik dan mempunyai tujuan tersendiri dalam meningkatkan
prestasi murid sekaligus bagi memartabatkan bidang pendidikan negara.
2.2 Program Teknologi
Maklumat Dan Komunikasi Yang Dilaksanakan Kepada Guru.
Menurut
artikel yang dipilih bagi tugasan ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa
pendedahan bidang teknologi maklumat dan komunikasi kepada guru besar, pengetua
dan guru-guru telah dilaksanakan melalui kursus yang berterusan dan implikasinya
mewujudkan golongan celik komputer yang ketara.
Sememangnya
kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan
kemahiran golongan pendidik terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan
komunikasi. Menurut Muhamad Hasan (2000),
dalam tempoh RMK-8, Bahagian Pendidikan Guru menerusi Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) telah diberi tanggunghawab untuk memberi penekanan khusus
terhadap penggunaan ICT dengan mengkaji semula kurikulum latihan guru dan
menyediakan kursus jangka pendek dalam latihan guru oleh Pusat Sumber
Pendidikan Negeri (PSPN). Jelas di sini menunjukkan kerajaan telah
berusaha meningkatkan keupayaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi melalui pelaksanaan khusus
bermula daripada golongan guru pelatih sehinggalah kepada guru-guru senior dan
hal ini sekaligus mampu meningkatkan penguasaan keseluruhan guru dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi tanpa mengira lapisan tempoh perkhidmatan.
Usaha kerajaan bagi meningkatkan
penguasaan golongan pendidik terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi
tidak terhenti setakat itu sahaja. Kerajaan telah Kempen Teknologi Maklumat
pada 11 Oktober 1997. Kempen ini sebenarnya turut membawa kesan positif kepada
golongan pendidik. Hal ini adalah kerana kerajaan menyedari bahawa negara ini
perlu mempersiapsediakan golongan belia terutamanya guru pelatih bagi bidang
pendidikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi
agar dapat menjadi penyambung kepada usaha yang telah dilaksanakan pada hari
ini.
Hal
ini adalah selaras dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannnya
pada perasmian kempen tersebut, iaitu sebuah
negara mesti sentiasa berfikir tentang hari esok. Kerana memikirkan hari
esoklah kita telah membuat keputusan untuk menggunakan kuasa teknologi
maklumat. Kerajaan telah memberi komitmen untuk berperanan aktif dalam mencapai
cita-cita ini. Kita bukan sahaja akan menyediakan kepimpinan dari atas ke bawah
yang diperlukan untuk memajukan pembangunan teknologi maklumat tetapi kita juga
akan membawa masyarakat melonjak bersama.
Atas kesedaran tersebut, Kementerian
Pelajaran Malaysia telah menjalinkan satu usahasama dengan pihak Intel
Education Malaysia bagi melahirkan golongan guru baru yang telah bersiap sedia
dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi untuk dilaksanakan semasa di
sekolah kelak. Menurut kenyataan yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia (7 Jun
2010), program ini adalah bagi memastikan guru pelatih dapat membiasakan diri
bagi mengintegrasikan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah sekaligus akan
memberi kesan dan impak positif kepada pencapaian serta prestasi akademik
murid-murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan.
Konklusinya kerajaan telah
melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan golongan-golongan pendidik berupaya
menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Usaha-usaha yang
dilaksanakan turut melibatkan satu pelan jangka masa panjang bagi tujuan
menyediakan bakal tenaga pendidik yang telah sedia diperkukuhkan dengan
kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
2.3 Inisiatif Teknologi Maklumat Dan
Komunikasi Yang Disediakan Oleh Kerajaan Kepada Bidang Pendidikan.
Menurut artikel Utusan Malaysia itu
juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengulas berkenaan dengan inisiatif
teknologi maklumat dan komunikasi yang telah disediakan oleh kerajaan kepada
bidang pendidikan. Menurut beliau, Kementerian Pelajaran Malaysia telah
menyediakan pelbagai program bagi menyebarkan sekaligus memperkukuhkan dunia
pendidikan di Malaysia bukan hanya bagi memudahkan guru malahan juga mempunyai
pelbagai kebaikan kepada murid-murid. Antara inisiatif yang disediakan adalah
melalui video pendidikan melalui web iaitu EduWeb TV dan juga School Net.
Amnya video pendidikan melalui web ataupun dikenali
sebagai EduWeb TV memudahkan guru-guru memilih dan seterusnya menjadikan soalan
peperiksaaan yang telah disediakan di web tersebut sebagai satu panduan dalam
menyediakan set soalan peperiksaan Selain daripada itu juga, guru boleh memilih
dan seterusnya menggunakan video yang sesuai untuk proses pengajaran dan
pembelajaran. Para murid juga. boleh melayari video-video pendidikan dengan
mudah terus daripada pelayar web. Tambahan lagi, para murid turut boleh mengikuti
pelbagai soalan yang disediakan. pelajar lain menggunakan topik yang disediakan
oleh anda.
Sememangnya keupayaan
guru dalam menaplikasikan EduWeb Tv ini memudahkan proses pengajaran dan
pembelajaran seperti yang diterangkan di atas. Hal ini turut diperakui oleh Norasiah
Abdullah (2009) iaitu penggunaan EduWeb Tv merupakan satu medium bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana
berfokuskan kepada isi-isi penting kepada topik yang akan disampaikan serta mengelakkan
rasa bosan pelajar seterusnya mengekalkan minat pelajar. Ia juga boleh
menghiburkan pelajar.
Selain daripada EduWeb
TV, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyentuh berkenaan
dengan School Net. Sememangnya program School Net ini merupakan satu insiatif
dan menjadi tujuan kerajaan berkehendakkan guru yang berkeupayaan dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi.
SchoolNet merupakan rangkaian persendirian maya yang
menyediakan sambungan internet jalur lebar ke sekolah dan ia adalah pendekatan
terbaru sistem pendidikan negara bagi menyediakan kemudahan pembelajaran
melangkaui bilik darjah. Menurut Nor Fariza Ramlan (2012), SchoolNet menyediakan pelbagai aplikasi kepada
penggunanya, termasuk aplikasi komunikasi elektronik seperti e-mel dan kumpulan
berita, aplikasi akses jarak jauh, aplikasi pemindahan dokumen, aplikasi
pengedaran maklumat dan aplikasi pencarian maklumat. Hal ini menunjukkan bahawa
hanya guru yang berkeupayaan dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi mampu mendepani perubahan kemajuan ini. Oleh
sebab itulah kerajaan begitu optimis bagi menyediakan guru yang berkeupayaan
dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
Guru yang berkeupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi dengan kemahiran mengendalikan School Net juga dilihat
sebagai satu podium bagi memastikan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai guru
pakar tercapai. Menurut Nor Fariza Ramlan (2012), pelaksanaan SchoolNet ini mampu meningkatkan
perkongsian ilmu dengan mengoptimumkan tenaga pengajar pakar di negara ini.
Melalui teknologi ini, seorang guru pakar mampu mengajar sesuatu mata pelajaran
melebihi daripada satu kelas di sekolah yang sama dan sekolah lain.
Selain itu, guru yang berkeupayaan
dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi.serta dapat menguasai SchoolNet dengan sebaiknya boleh
memanfaatkan infrastruktur berkenaan bagi mengubah bilik darjah mereka menjadi
persekitaran menarik justeru dapat menambah minat pelajar terhadap pendidikan.
Dengan teknologi ini juga, seorang guru yang berkeupayaan dalam bidang bidang teknologi
maklumat dan komunikasi boleh mengajar
sesuatu subjek kepada bilangan bilik darjah lebih banyak di sekolah sama dan
sekolah lain. Portal SchoolNet ini membolehkan guru berkongsi modul
pembelajaran dan pengajaran interaktif sesama mereka. Jelas di sini menunjukkan
guru yang mempunyai berkeupayaan
dalam bidang bidang teknologi maklumat dan komunikasi amat penting bagi
mengendalikan inisiatif yang telah dilaksanakan bagi kemudahan banyak pihak
sekaligus mampu meningkatkan mutu pendidikan negara.
2.4 Infrastuktur
Pembangunan Teknologi
Maklumat Dan Komunikasi Di Sekolah.
Artikel
yang dipilih bagi menyempurnakan tugasan ini juga bukan sekadar memperkatakan
mengenai keupayaan guru dalam dalam bidang bidang teknologi maklumat dan
komunikasi, malahan turut menyentuh berkenaan isu infrastuktur pembangunan teknologi
maklumat dan komunikasi di sekolah yang diwujudkan oleh kerajaan. Selain
daripada pembinaan 6633 makmal komputer di sekolah dan 3029 Pusat Akses
Internet, terdapat beberapa lagi usaha yang dijalankan oleh kerajaan.
Kerajaan
telah menyediakan pelbagai peralatan kemudahan teknologi maklumat dan
komunikasi di sekolah sepertimana yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin
Yassin dalam artikel yang dipilih itu. Hal ini diperkukuhkan oleh Robiah Sidin
& Nor Sakinah Mohamad
(2007) dalam kajiannya yang menyatakan bahawa pihak kerajaan bersetuju untuk membekalkan peralatan ICT ke
sekolah yang merangkumi komputer riba, projektor LCD atau tv, troli dan
skrin. Sememangnya setiap orang guru yang terlibat dengan pelaksanaan
program PPSMI di kelas-kelas yang berkenaan diberikan komputer riba dan
dibolehkan membawa balik ke rumah supaya mereka dapat membuat persediaan
awal sebelum masuk ke bilik darjah. Kelas-kelas juga disediakan dengan LCD
dan troli untuk digunakan guru di bilik darjah. KPM sendiri telah membekalkan
kepada setiap sekolah dengan bahan pembelajaran untuk digunakan sebagai bahan
bantu pembelajaran dan rujukan guru serta untuk ulangkaji pelajar. Bahan-tersebut
terdiri daripada perisian interaktif, rancangan TV pendidikan, buku-buku bacaan
tambahan, modul-modul dan alat Bantu mengajar.
Selain daripada menyediakan peralatan ICT,
kerajaan juga memandang serius berkenaan masalah kekurangan peruntukan pula.
Menurut Robiah
Sidin & Nor Sakinah Mohamad (2007) menyatakan bahawa dalam Bajet 2008, kerajaan telah
meluluskan peruntukan wang sebanyak RM30 bilion untuk pendidikan tidak termasuk
RM15 juta lagi untuk pendidikan ICT di luar bandar. Ini jelas menunjukkan
bahawa kerajaan bersikap serius dalam merealisasikan hasrat ini dengan
melaburkan begitu banyak modal semata-mata untuk membangunkan insan celik
komputer yang lebih berdaya saing di era digital ini.
2.5 Cabaran
Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam Pendidikan.
Artikel yang memetik ucapan Tan Sri Muhyiddin
Yassin di Forum Pembelajaran dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen
Elizabeth II berkenaan dengan penguasaan guru dalam teknologi maklumat dan
komunikasi turut mengulas serba sedikit berkenaan dengan cabaran
teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Sememangnya cabaran-cabaran
ini serba sedikit mengganggu proses guru dalam menguasai teknologi maklumat dan
komunikasi. Oleh hal demikian saya turut mencadangkan beberapa usul bagi
mengatasi setiap cabaran teknologi maklumat dan komunikasi yang wujud.
Menurut Wan Mustama (2004), cabaran teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan terbahagi kepada lima aspek. Apek
pertama adalah berkenaan dengan kesukaran menghabiskan sukatan pelajaran. Aspek
kedua adalah halangan pihak pentadbiran sekolah. Aspek ketiga adalah berkaitan
dengan sikap negative guru. Aspek kedua terakhir adalah maklumat dan laporan
tidak tepat serta aspek terakhir adalah berkaitan dengan jurang digital.
Apek pertama adalah berkenaan dengan kesukaran
menghabiskan sukatan pelajaran. Sukatan pelajaran merupakan satu garis panduan
bagi setiap warga pendidik. Amnya perancangan yang baik amat perlu
dititikberatkan dalam menyusun atur waktu proses pengajaran dan pembelajaran
agar mencakupi kesuluruhan topik dan aspek yang telah dimuatkan di dalam
sukatan pelajaran. Keadaaan ini secara tidak langsung telah menjadi satu
cabaran bagi guru-guru dalam menerapkan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi dalam pendidikan.
Menurut Naim Hj. Ahmad (2000), penggunaan internet untuk
diakses dan dilayari memerlukan masa yang agak lama untuk diaplikasikan sewaktu
proses pengajaran dan pembelajaran. Beliau juga telah mengutarakan penyediaan
alatan teknologi seperti LCD mengambil masa yang lama terutamanya kepada
guru-guru lama yang tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan
teknologi. Hal ini dilihat mampu menjejaskan waktu proses pengajaran dan
pembelajaran sekaligus menganggu perancangan bagi menghabiskan sukatan
pelajaran.
Terdapat beberapa cadangan dan langkah yang telah
dijalankan bagi mengatasi cabaran yang telah dikeutarakan di atas. Pendekatan
pengajaran berkonsepkan teknologi maklumat dan komunikasi perlu dirancang
bersesuaian dengan spesifikasi kurikulum. Sharifah Alwiah Alsagoff (1987)
menyatakan bahawa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi perlu
diperluaskan mencakupi penggunaan internet seperti mengakses laman web, email,
on-line dan perlu diselaraskan dengan program pendidikan dengan teratur bagi
memastikan pengurusan masa yang baik dapat dilaksanakan.
Hal ini memperjelaskan bahawa cabaran penggunaan internet
memerlukan mengambil masa yang lama dapat diatasi dengan perancangan guru bagi
menyenaraikan alamat web yang berkait dengan isi pembelajaran murid terlebih
dahulu. Penyediaan alatan seperti LCD yang dianggap mengambil masa yang panjang
juga dapat diatasi melalui penyediaan juruteknik di sekolah-sekolah. Pihak
kerajaan turut menyediakan kursus teknologi maklumat kepada tenaga pengajar di
sekolah yang diadakan melalui kursus-kursus semasa. Selain daripada itu juga,
kementerian telah melaksanakan tindakan awal dengan mempersiapkan guru-guru
pelatih berkenaan teknologi maklumat dan komunikasi melalui latihan berkenaan
Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran yang telah disenaraikan sebagai
satu silibus di Institut Pendidikan Guru.
Seterusnya adalah berkenaan dengan aspek kedua cabaran teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan iaitu berkenaan dengan halangan pihak
pentadbiran sekolah. Penyampaian ilmu
pengetahuan kepada murid sememangnya diakui dapat dipercepatkan dan
dipermudahkan melalui pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi.
Realitinya menurut Muhamad Hasan Adul Rahman (2000)
terdapat segelintir pihak pentadbiran sekolah yang meletakkan prosedur yang
ketat kepada para guru yang ingin menggunakan alatan-alatan teknologi sebagai
bahan bantu mengajar. Hal ini adalah kerana alatan tersebut memerlukan
infrastruktur yang berkos tinggi dan penyelenggaraan yang baik. Implikasinya
guru-guru lebih selesa menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran biasa
berbanding bahan teknologi maklumat.
Terdapat cadangan yang difikirkan mampu mengatasi cabaran
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan berkenaan
halangan pihak pentadbiran sekolah tersebut. Penggunaan Model Apple Classroom
of Tomorrow (ACOT) yang telah diperkenalkan pada tahun 1995 telah menggariskan
lima langkah perubahan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran
berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.
Langkah pertama adalah berkenaan Kemasukan (Entry) yang
mengetengahkan penerimaan positif kesemua pihak terutamanya pihak pentadbir dan
dan guru berkenaan kemasukan teknologi dalam bidang pendidikan. Langkah kedua
pula adalah melalui Pemilihan (adoption) iaitu pemilihan bahan yang sesuai
sahaja bagi sesuatu kelas sekaligus mengelakkan penggunaan alatan lain yang
tidak berkaitan dan hanya menggalakkan penggunaan lebihan alatan.
Langkah ketiga pula adalah berkenaan Kesesuaian
(adaptation) iaitu pengaplikasian alatan yang bersesuaian dengan tahap murid.
Hal ini adalah bagi memastikan keberkesanan kaedah penggunaan alatan tersebut
yang disesuaikan dengan alatan yang digunakan.
Model ini turut menggariskan Penggunaan (appropriation)
alatan dengan kaedah dan teknik yang betul agar alatan tersebut dapat digunakan
secara berterusan. Langkah ini bertujuan memastikan alatan teknologi dapat
digunakan dalam tempoh masa yang lama sekaligus mengurangkan kos
penyelenggaraannya. Langkah terakhir pula adalah merekacipta (invention) iaitu
pihak pentadbir dan guru mampu merekacipta bahan-bahan tambahan bagi meneguhkan
pemudahcara dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid.
Penggunaan model ini mengetengahkan peranan setiap pihak
dalam menjaga alatan serta perubahan sikap dan mentaliti berkenaan alatan
komunikasi. Langkah-langkah ini dilihat mampu mengubah prosedur ketat yang
dikenakan oleh pihak pentadbiran ke arah yang lebih mesra pengguna. Tambahan
lagi, sikap dan pandangan guru juga akan turut berubah dalam mengubahsuai
proses pengajaran dan pembelajaran mereka seiring dengan arus pemodenan yang
berlaku.
Aspek ketiga bagi cabaran teknologi maklumat
dan komunikasi dalam pendidikan adalah berkaitan dengan sikap negatif guru. Kebanyakan guru telah sebati dengan kaedah pengajaran
tradisional dan sukar menyesuaikan diri dengan teknologi intruksional. Yusup
Hasyim (1998) mempersetujui kenyataan yang telah dikeutarakan oleh Becker &
Watt (1966) iaitu ledakan teknologi
maklumat dan komunikasi memberi cabaran baharu kepada profesion guru dan sistem
pendidikan.
Menurut Becker & Watt
(1966) juga, ada kalangan guru yang ‘buta teknologi
maklumat dan komunikasi’, menyebabkan timbul sikap negatif dan tidak berminat
mengajar menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi selain sikap malas
menyediakan bahan atau peralatan teknologi maklumat dan komunikasi untuk
pengajaran.
Cabaran berkenaan sikap negatif guru dapat diselesaikan
apabila pemikiran guru lebih bersifat keterbukaan dalam menerima
perubahan-perubahan baru dalam dunia pendidikan. Maizun Binti Jamil (2009) menyokong pendapat
Steers & Black (1994) iaitu persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran
dalam kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah
organisasi. Latihan yang cukup akan membantu guru menambahkan pengetahuan dan
kecekapan terhadap alatan teknologi maklumat dan komunikasi sekaligus
menimbulkan minat dikalangan guru-guru tersebut.
Aspek keempat cabaran
teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah maklumat dan laporan tidak
tepat. Amnya tugas guru tidak hanya meliputi proses
pengajaran dan penyampaian ilmu pengetahuan malahan juga melibatkan kerja-kerja
pengkeranian yang memerlukan guru-guru merekodkan dan memasukkan data-data
berkenaan prestasi murid dalam sistem. Namun proses memasukkan data yang
dikendalikan melalui sesuatu perisian terdedah kepada pemprosesan dan
penganalisisan laporan serta maklumat yang tidak tepat. Hal ini mungkin disebabkan
oleh proses kemasukan data yang terlalu banyak dan berterusan. Menurut Zoraini
Wati Abas (1993), kesilapan juga boleh berlaku terhadap data prestasi murid
sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam
pembangunan sistem data itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem data
tersebut.
Cadangan
yang ingin dikeutarakan bagi mengawal cabaran ini adalah melalui ppihak
pentadbir sekolah. Hubungan yang baik dan tolak ansur amat penting dalam
sesebuah organisasi. Hal ini merujuk kepada sikap dan layanan pihak pentadbir
kepada staff berkenaan kebajikan pekerja bagi mengelakkan berlakunya tekanan
kerja dan perpindahan pekerja ke organisasi lain. Perpindahan ini akan
menyumbang kepada masalah hilangnya pekerja yang memiliki sesuatu kemahiran.
Lebih teruk lagi, pekerja baru yang menggantikan tempat pekerja lama tidak
memahami konsep dan cara kerja pekerja lama tersebut dan seterusnya menjuruskan
ke arah berlakunya kesilapan kerja terutamanya dalam skop memasukkan data.
Malah
masalah seperti kemasukan data yang salah (Garbage In Garbage Out - GIGO) dapat
dihapuskan sekiranya pentadbir memberi peluang dan masa yang secukupnya untuk
kakitangan mereka menjalankan tugas. Selalunya kesilapan berlaku kerana
kecuaian pekerja yang melakukan kerja secara tergopoh-gapah. Mungkin kerana
mahu cepat siap, faktor kuantiti sahaja yang diambil kira, dan ini menyebabkan
mereka mengabaikan faktor kualiti. Kebajikan pekerja perlu diambil berat.
Adalah dicadangkan juga setiap data atau maklumat yang dimasukkan disemak oleh
"Quality Control". Hal ini dapat menghasilkan data yang lebih tepat
dan jitu.
Aspek terakhir bagi cabaran
teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan adalah jurang digital. Jurang digital
terbentuk apabila berlakunya ketidakseimbangan yang wujud di kalangan
masyarakat. Ketidakseimbngan ini amnya merangkumi aspek ekonomi, kemudahan
infrastruktur, pendapatan, pemodenan, pendidikan dan sebagainya dan hal ini
secara tidak langsung turut memberikan impak terhadap kemajuan teknologi maklumat
dan komunikasi dan digital di sekolah.
Ab. Rahim Selamat (1992)
menyatakan bahawa situasi jurang digital menyebabkan pengajaran guru kurang
berkesan dan tidak dapat diaplikasi di luar bilik darjah memandangkan
sosioekonomi murid – murid di luar bandar yang rendah. Penggunaan
komputer yang terhad dan tidak berterusan boleh membantutkan penerimaan ilmu
pengetahuan yang hendak disampaikan.
Selain
daripada itu juga, Ab. Rahim Selamat
(1992) mengakui wujudnya jurang perbezaan
dari segi taburan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di antara
kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan Lembah Kelang dan
kawasan lain di Semenanjung Malaysia.
Hakikatnya cabaran ini bukannya
sesuatu yang boleh dipandang serius kerana kerajaan telah mengambil beberapa
langkah bagi mengatasi cabaran yang telah digariskan ini. Kerajaan telah mewujudkan
kesedaran berkenaan penggunaan komputer untuk mempercepatkan penerimaan dan
penggunaan teknologi maklumat. Kempen Kesedaran Teknologi Maklumat pada 11
Oktober 1977 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mahathir Mohamad.
Kerajaan juga memperlonggarkan syarat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja bagi individu yang ingin memiliki komputer persendirian. Kerajaan turut
melancarkan program Satu Rumah Satu Komputer dengan membekalkan komputer kepada
murid-murid. Kerajaan juga memastikan setiap sekolah, mendapat skim peruntukan
kelengkapan makmal komputer yang cukup kepada semua sekolah terutamanya
sekolah-sekolah di kawasan luar bandar. Cabaran
ini cuma berlaku di sekolah-sekolah pendalaman yang baru dibuka dan mengalami
masalah tempoh penerimaan alatan teknologi yang agak lambat namun proses
penerimaan tersebut tetap berlaku.
Penutup
Sememangnya
diakui bahawa sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat
menyediakan murid-murid yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih
mencabar. Peranan teknologi maklumat sangat penting dalam sistem pendidikan
yang semakin mencabar dan menghadapi persaingan global ini. Dunia yang dianggap
sudah tidak bersempadan daripada sudut pergerakan maklumat telah memberikan
inspirasi supaya setiap sekolah menerima tanpa soal jawab aplikasi dan
implimentasi ICT dalam organisasi berkenaan.
Hal
ini telah disedari oleh kerajaan dan kerajaan mula mengatur langkah bagi
menghadapi situasi tersebut. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa
mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Kerajaan
mula mengorak langkah dengan menyediakan barisan guru yang mantap dan berpengetahuan
luas terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuan teknologi
maklumat dan komunikasi memerlukan anjakan
peranan pendidikan dan profesion keguruan. Untuk mencapai matlamt
menjadikan negara sebagai negara yang maju, kita memerlukan lebih ramai guru
yang mempunyai pengkhususan bidang pengetahuan komunikasi maklumat (TMK)
Justeru, adalah penting
bagi guru-guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi
tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran.
Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu mempermudahkan proses peningkatan
kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam
keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada
terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau
apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan
pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa
depan dan tingkah laku kanak- kanak.
Rujukan
Ab. Rahim Selamat.
(1992). Teknologi Sistem Pengajaran.
Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Ahmad
Subki & Syed Ismail (2012). Asas Kepimpinan Dan Perkembangan
Profesionalisme.Selangor: Penerbitan Multimedia SDN. BHD.
Dr.
Ismail Zain. (2008) Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian Dalam Proses
Pengajaran Dan Pembelajaran. Utusan
Malaysia. 27 Oktober.
Isyak Din, Azmi Zakaria, Wan Mustama, Rafee Che
Kasim & Mazlan Shamsuddin (2004). Jurnal Pengurusan Dan Pentadbiran
Pendidikan 14 (02).
Maizun binti Jamil. (2009). Penggunaan Teknologi
Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Dalam Pendidikan Telah Memberi Kesan Positif
Dalam Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran Di Institusi Pengajian Tinggi.
Penilaian Tahap Kecekapan. Universiti Putra Malaysia.
Mohd. Termizi Che Anuar.
(2010) Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan. Utusan Malaysia, 13 Januari:1,
Muhamad
Hasan Adul Rahman. (2000). Media
Pengajaran Penghasilan Bahan Pengajaran Berkesan. Terbitan UPM.
Muhamad Rafiq Abdul Rahman. (2012) Pendidikan
Menerusi Teknologi Maklumat Dan Komunikasi.
Dewan Masyarakat. Mei
2012.
Naim
Hj Ahmad. (2000). Teknologi Pendidikan.
Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Nor
Fariza Ramlan. (2012) School Net diperluas ke Johor. Berita Harian, 2 September.
Norasiah
Abdullah, Nor Risah Mat Lazim & Rosnah Zain. (2009). Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
Robiah
Ridin & Nor Sakinah Mohamad. (2007) ICT dalam
Pendidikan: Prospek dan
Cabaran dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32 (2007).
Sharifah
Alwiah Alsagoff. (1987). Teknologi Pengajaran.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Yazid
Abdul Manap (2001). Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama.
Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor.
Yusup
Hasyim. (1998). Teknologi Pengajaran.
Shah Alam: Fajar Bakti.
Zoraini
Wati Abas (1993). Komputer dan
Pendidikan, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti
Ulasan yang sangat bermutu dan berfakta. Saya mohon share.
ReplyDelete