1.0 PENGENALAN
Memikul tugas sebagai
seorang guru tidak semudah melontarkan perkataan guru itu sendiri. Jika dilihat
kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (1989), terdapat frasa yang menggariskan
pendidikan sebagai usaha berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang dan
harmoni dari aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi. Jika diteliti tugas
untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini amatlah berat. Adalah
sukar untuk membentuk manusia yang pelbagai latar belakang dan acuan rohaninya ke
arah satu matlamat yang sama. Oleh yang demikian guru perlu menjadi insan yang
mempunyai wibawa dalam tugas, mampu menangani masalah murid dan sentiasa
berubah mengikut zaman (Fitri, 2006).
Profesion perguruan adalah bidang
kerjaya yang mendesak. Guru dianggap pakar dalam segala bidang (Abdul Rahin et al.2000) Tugas guru tidak sekadar
masuk ke kelas mengajar dan memeriksa kertas peperiksaan sahaja namun lebih
luas daripada itu. Kerjaya guru adalah satu profesion yang menuntut kesungguhan
menyebarkan ilmu pengetahuan dengan tujuan untuk membina masyarakat yang
bertamadun tinggi. Begitulah besarnya impak kerjaya guru kepada pembinaan
negara. Begitu besarnya tanggungjawab seorang guru maka begitu besarlah bebanan
tugas guru yang perlu dipikul.
Bebanan tugas dapat didefinasikan
sebagai amanah yang dipertanggungjawabkan kepada guru sama ada dilakukan di
dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah dan bertujuan untuk menyelesaikan
kerja-kerja berkaitan dengan sekolah (Shukri, 1998). Beban tugas ini pula
diukur dengan melihat kepada tugas masa yang diperuntukkan dalam seminggu. Melihat
kepada takrifan beban tugas ini dapat disimpulkan bahawa tugas yang diberikan
kepada guru mampu memberi tekanan apatah lagi jika tugas tersebut diberi secara
berlebihan. Tugas yang dibebankan kepada guru perlulah mengambil kira prioriti
tanggungjawab guru tersebut
Seiring dengan perkembangan dunia
pendidikan, pengalaman guru juga bertambah. Walau bagaimanapun, kemampuan guru
untuk menghadapi beban tugas yang diberikan bergantung kepada individu. Beban
tugas yang terlalu besar akan mengganggu emosi dan seterusnya memberi kesan
kepada kualiti pengajaran guru tersebut (Fitri, 2006).
Pelbagai langkah perlu diambil untuk
mengatasi masalah ini. Hal ini untuk memastikan fokus guru untuk mendidik tidak
terganggu. Tidak dinafikan guru juga perlu bertanggungjawab terhadap pelbagai
data berkaitan murid, malah guru juga perlu tahu data-data muridnya untuk
memudahkan guru menyesuaikan kaedah pengajaran namun begitu tugasan selain
mendidik yang diberikan kepada guru perlu berpada dengan tanggungjawab utama
seorang guru.